SEREMBAN – Sebuah kenderaan polis membawa seramai lima orang kena tuduh (OKT) terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 255.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran susur keluar Senawang dekat sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.55 petang itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan pada bahagian dada akibat tersepit di bahagian pemandu manakala seorang lagi anggota polis patah kaki kanan.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Amir Abu Kasim berkata, kemalangan itu berlaku apabila kenderaan polis jenis Toyota Hiace yang membawa lima OKT lelaki itu melanggar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Kenderaan polis yang sedang bergerak di lorong paling kanan itu melanggar belakang sebuah Toyota Hilux selepas kenderaan tersebut dipercayai berhenti secara mengejut di lokasi kejadian kerana kesesakan lalu lintas.
“Terdapat seramai empat anggota polis lelaki dalam Toyota Hiace itu. Kemalangan itu turut menyebabkan salah seorang OKT mengadu mengalami sakit pada bahagian dada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Amir berkata, beliau difahamkan kesemua anggota polis terbabit sedang mengiringi
lima OKT berkenaan ke Sungai Udang, Melaka semasa kemalangan itu berlaku.
Menurut beliau, pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan anggota polis yang tersepit di bahagian pemandu Toyota Hiace.
Kata beliau, kesemua yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini bagi menerima rawatan susulan.
“Kami terima panggilan kecemasan pada pukul 4.57 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
“Seramai lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Senawang bersama dua jentera dikerahkan memberi bantuan,” katanya. – K! ONLINE











