KUCHING – Kementerian Pengangkutan tidak bercadang memperkenalkan harga siling bagi tiket penerbangan ke Sarawak dalam usaha mengekang kenaikan kadar tambang setiap kali menjelang musim perayaan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebaliknya kementerian mengusulkan agar syarikat-syarikat penerbangan menambah bilangan penerbangan pada hari-hari berkenaan.
“Harga siling mungkin mendorong syarikat penerbangan menaikkan harga tambang pada hari-hari biasa seperti yang berlaku di negara-negara lain apabila harga siling tidak dapat membantu merendahkan harga tambang.
“Kita cuba guna pendekatan lain dengan menambah penerbangan pada musim perayaan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Anthony berkata demikian sebagai mengulas rungutan rakyat Sarawak berhubung kenaikan kadar tambang penerbangan setiap kali musim perayaan. – Bernama










