Kelazatan Royal Pudding D'Jb - Utusan Malaysia

Kelazatan Royal Pudding D’Jb

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 19 Sept. – Hanya dengan RM20 dibekalkan suami untuk perbelanjaan harian, sebaliknya digunakan seorang isteri untuk merealisasikan minatnya berniaga makanan.

Juniah Marjonid, 40, tidak menoleh lagi. Hatinya cekal kera­na percaya RM20 itu boleh dimanfaatkan untuk mengha­silkan Puding Raja yang enak dan digemari ramai.

Telahannya tepat apabila Puding Raja yang dihasilkan kini menjadi kegilaan dan pasarannya semakin meluas hingga ada kalanya tidak menang ta­ngan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ibu kepada lima cahaya mata itu gigih berusaha. Pernah satu ketika beliau mengimpikan sebuah bakeri, namun faktor kekangan kewangan membantutkan impiannya.

Namun, beliau yang lebih mesra dipanggil Ina, tidak pernah berputus asa dan terus mengorak langkah dengan menghasilkan puding hingga diterima serta dikenali sebelum menamakannya sebagai Royal Pudding D’Jb.

Ina yang mendapat sokongan suami, Mohd. Ezam Othman, 43, berkata, resipinya diolah daripada hidangan asli dan kemudian disesuaikan dengan cita rasa masyarakat masa kini.

Menceritakan kejayaannya itu, Ina memberitahu dengan duit RM20 beliau menggunakan sebagai modal untuk membeli susu cair, telur, pisang, gajus dan prun.

“Cubaan pertama saya kenalkan dengan rakan-rakan terdekat, Alhamdullilah dapat maklum balas positif dan mereka mahu saya mengusahakannya secara serius kerana keenakannya mengujakan.

“Selepas itu saya gunakan hasil jualan untuk kembangkan perusahaan itu dan pada 2015 mula menjual menerusi Facebook dan jualan menunjukkan peningkatan, pada tahun tersebut hanya ada 1,000 pengikut, kini jumlahnya mencecah kepada 5,000 pengikut,” katanya.

Ina yang mengusahakan makanan itu di rumahnya di Taman Universiti, Skudai dekat sini berkata, antara sebab sam­butan luar biasa ialah kerana tiada persai­ngan dan di negeri ini tidak ramai yang mahir membuat puding raja yang berasal dari Pahang.

“Kesempatan ini saya gunakan dengan mempelajari cara-cara membuat puding raja terbaik, dengan memastikan bekalan barang yang segar dan bermutu terutama telur dan pisang di samping penampilan lua­ran yang menarik.

“Kami telah berjaya memasarkan ke beberapa stesen minyak Pertronas, premis-premis roti dan kek di Pasir Gudang, Pulai, Gelang Patah, Kluang, Batu Pahat dan Muar serta beberapa buah pasar raya terpilih termasuk Uda Bisnes Center,” katanya.

Jelas Ina, penghantaran pro­duknya menggunakan penghantar tetap manakala di kawasan berhampiran dihantarnya sendiri dan kini mampu menghasilkan 480 hingga 550 kotak sebulan dan pada musim perayaan jumlahnya meningkat kepada 600 kotak.

Sehubungan itu kata Ina, berikutan permintaan yang tinggi beliau berhasrat mengembangkan prniagaannya ke seluruh negeri. Mereka yang ingin mendapatkan Royal Pu­ding D’Jb boleh menghubungi di 019-7516229.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini