JOHOR BAHRU 25 Sept. – Kesedaran masyarakat untuk membuat persiapan menghadapi kehamilan dan bersalin menunjukkan peningkatan ketara dengan menghadiri kelas-kelas ibu hamil.
Pakar Sakit Puan, Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. K. Mohanraj berkata, peningkatan itu boleh dilihat dengan jelas berbeza 13 tahun lalu hanya 10 wanita yang menghadiri kelas ibu hamil.
Jumlah itu katanya, meningkat kepada 20 wanita tujuh tahun lalu dan kini meningkat kepada 30 hingga 40 wanita bagi setiap kelas.
“Apa yang membanggakan inisiatif untuk menghadiri kelas ibu hamil ini bukan sahaja datang daripada ibu terbabit, malah suami mereka begitu teruja dengan membantu mencari penganjur yang mengadakan kelas seumpama itu.
“Menerusi kelas ini antara topik yang kita tekankan adalah maklumat asas penjagaan ibu dan janin semasa mengandung, selain tip-tip pemakanan yang seimbang, teknik penyusuan yang betul dan penjagaan bayi baru lahir.
“Saya juga kagum di mana para peserta tidak segan silu untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan, bukan sahaja dalam kalangan ibu tetapi suami, ini menunjukkan mereka punya kesedaran tinggi dengan mengharapkan maklumat-maklumat terkini,” katanya.
Beliau yang juga Pakar Kesuburan berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan ceramah dalam Kelas Ibu Kehamilan anjuran Hospital Pakar KPJ Johor, di sini semalam.
Dalam kelas itu seramai 30 peserta yang terdiri pasangan suami isteri menyertai kelas tersebut yang diadakan secara percuma oleh KPJ Johor.
Tambah Mohanraj, para peserta turut dibentangkan mengenai perkembangan daripada konsepsi sehingga kelahiran, gejala-gejala yang perlu diambil perhatian dan jenis-jenis proses kelahiran.
Katanya, tujuan kelas itu dianjurkan juga bagi menambah pengetahuan dan kemahiran pasangan yang akan menerima ahli baharu dalam keluarga.
Mohanraj berkata, penerangan dan demonstrasi yang diberikan berlangsung dalam suasana berinformasi dengan harapan pasangan itu lebih bersedia dari segi fizikal dan mental dalam menyambut kelahiran bayi mereka.











