PASIR PUTEH 29 Sept. – Senarai nama untuk jawatan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang dikosongkan akan diisi dalam tempoh terdekat selepas mendapat pertimbangan pucuk pimpinan Kerajaan Pusat.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kamarudin Md. Nor berkata, jawatan itu penting bagi kelangsungan projek-projek pembangunan pertanian di kawasan berkenaan.
Menurutnya, beberapa nama bagi mengisi jawatan itu sudah dihantar kepada kerajaan pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sejak tiga bulan lepas.
“Saya yakin nama-nama mereka sedang dalam pertimbangan dan akan diluluskan segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Kacau Bubur Asyura peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, dekat sini petang tadi.
Pada majlis itu Kamarudin turut menerima 700 borang permohonan keahlian baharu Bersatu yang diketuai Penyelaras kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, Aminuddin Deris.
Jawatan berkenaan dikosongkan selepas kekalahan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sementara itu, Kamarudin berkata, beliau diminta supaya memberikan tumpuan yang lebih masa untuk memperkuatkan kedudukan parti itu di negeri ini Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, Kelantan perlu berada di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika mahu pembangunannya tidak ketinggalan jauh ke belakang selepas Pas gagal melaksanakannya walaupun diberi peluang lebih 25 memerintah negeri itu.
“Hubungan kerajaaan negeri perlu diubah selari dengan Kerajaan Pusat yang menjadi prosedur dalam melicinkan pelbagai urusan pentadbiran,” katanya.
Kamarudin digugurkan sebagai Ketua Penerangan Bersatu Pusat dan jawatan tersebut diisi oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin. – UTUSAN ONLINE











