YOKOHAMA – Bintang baharu tenis Jepun, Naomi Osaka tidak terkilan dengan kontroversi yang melanda detik istimewa ketika merangkul gelaran Grand Slam pertama dalam kariernya pada final Terbuka Amerika Syarikat minggu lalu.
Kejayaan Osaka di New York dibayangi pertelingkahan antara lawannya, Serena Williams dan pengadil perlawanan, Carlos Ramos yang diakhiri dengan denda $17,000 (RM70,480.41) yang dikenakan kepada pemain idolanya itu.
Pemain berusia 20 tahun itu yang tiba di Jepun kelmarin untuk menandatangani kontrak sebagai duta syarikat kenderaan, Nissan tetap menganggap kemenangan 6-2, 6-4 ke atas pemegang 23 gelaran Grand Slam berkenaan satu keajaiban.
“Sejujurnya, saya langsung tidak berasa sedih dengan insiden tersebut. Pada hari tersebut, saya hanya ingat bahawa saya sangat penat dan kemenangan itu datang bagaikan mimpi.
“Saya sebenarnya tidak tahu reaksi apa yang patut saya beri ketika kontroversi itu berlaku.
Ini kerana ia kemenangan pertama saya di gelanggang Grand Slam. Secara keseluruhan, saya tetap gembira dengan detik itu,” katanya.
Pada hari perlawanan, Serena mencetuskan suasana tegang setelah didakwa melanggar etika dengan menerima arahan ketika perlawanan, menghempas raket serta bertelagah dengan pengadil perlawanan.
Insiden yang berlaku telah menyebabkan kemenangan Osaka di ejek oleh para penonton tempatan yang rata-ratanya menyokong Serena.
“Saya tahu banyak saya lalui untuk tiba pada tahap ini. Walaupun ia penuh kontroversi, saya tetap gembira kerana saya tidak pernah mencipta kejayaan sebesar ini di mana-mana final Grand Slam,” jelasnya. – Agensi










