KOTA BHARU 29 Sept. – Kerajaan Pakatan Harapan akan membuat pengumuman rasmi berkaitan fungsi dan peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan kelak.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, kerajaan sedang meneliti dengan lebih mendalam tentang jabatan itu serta beberapa proses penstrukturan sedang dilakukan.
“Kita tunggu makluman rasmi daripada kerajaan nanti, saya tak nak mengulas panjang tentang hal tersebut tetapi saya yakin kerajaan sedang melihat dan mendalami hal ini.
“Ini kerana, JPP berada di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri,jadi segala hal berkaitan bila dan bagaimana kaedah peruntukan akan disalurkan akan dimaklumkan nanti,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo Peringkat Kebangsaan 2018, Liga Penalti Piala YB Senator dan Majlis Asyura di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Melor, di sini hari ini.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan penyertaan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad ke dalam parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Radzi yang juga Ketua Penerangan baharu parti itu menafikan perkara tersebut.
“Itu saya tidak tahu, (Isa Samad) tiada beritahu saya. Saya juga tidak dapat makluman apa-apa lagi.
“Kalau ura-ura ini kita tidak boleh pakai selagi belum ada jawapan lagi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











