Kebersamaan dalam kepelbagaian - Utusan Malaysia

Kebersamaan dalam kepelbagaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHAD 16 September lalu genap 55 tahun pembentukan Malaysia yang boleh dikatakan suatu perjalanan sejarah yang panjang.

Sejak gagasan penubuhan Malaysia membawa kepada pembentukannya, para pemimpin Sabah dan Sarawak mula mempunyai kesedaran politik yang mendalam.

Lebih penting, mereka beranjak daripada pemimpin komuniti atau negeri kepada pemimpin nasional dengan menganggotai Kabinet dan memainkan peranan penting dalam penggubalan pelbagai dasar negara.

Mereka boleh diibaratkan “ikan besar dalam kolam yang besar” dan “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan para pemimpin di Semenanjung. Pengalaman dan kematangan politik yang sungguh bernilai itu nampaknya terus diamalkan para pemimpin Sabah dan Sarawak, meskipun negara kini diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).

Pastinya, usaha pembinaan bangsa oleh Tunku didukung bersama-sama para pemimpin seperti Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan. Pastinya, dengan dukungan antaranya, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohammad Fuad Stephens, Tun Temenggong Jugah Barieng dan Tun Abdul Rahman Ya’kub yang bergerak sederap dan seiringan dengan Tunku dalam mewujudkan rasa jati diri nasional.

Kejayaan pembinaan bangsa ini dapat dilihat dari segi peningkatan taraf sosioekonomi rakyat Malaysia seperti pengurangan kadar kemiskinan, peningkatan kadar celik huruf, peningkatan taraf hidup dan peningkatan taraf pendidikan. Dari segi integrasi nasional pula, terjalin semangat muhibah dan semangat kemalaysian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini terutamanya, melalui pendidikan dengan pada mulanya para pendidik dari Semenanjung ditempatkan di Sabah dan Sarawak untuk membantu memajukan pendidikan di kedua-dua buah negeri itu, penubuhan cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan akhirnya penubuhan universiti.

Penubuhan institusi pengajian tinggi telah membuka lebih banyak lagi peluang kepada penuntut Sabah dan Sarawak untuk melanjutkan pengajian mereka, di samping memberi peluang kepada anak tempatan berkhidmat sebagai ahli akademik dan pentadbir.

Dalam pentadbiran pula, anak watan Sabah dan Sarawak berpeluang berkhidmat dalam agensi dan jabatan Persekutuan, bukan sahaja di negeri masing-masing, bahkan juga di Persekutuan atau di ibu pejabat. Ada kalangan mereka berjaya membina kerjaya mereka sehingga menerajui agensi atau jabatan Persekutuan, atau paling tidak, sebagai anggota pengurusan tertinggi.

Dengan itu, para pemimpin dan penduduk Sabah dan Sarawak turut memberikan sumbangan dalam pembinaan negara (state-building), yang merujuk kepada pewujudan institusi ketara iaitu tentera, polis, birokrasi, kementerian dan sebagainya, di samping mewujudkan institusi kerajaan yang baharu dan memperkukuh institusi yang sedia wujud.

Kobkua Suwannathat Pian dalam bukunya, Tunku: An Odyssey of Life Well-Lived and Well-Loved merumuskan usaha pembinaan bangsa oleh Tunku boleh dikategorikan kepada tiga bidang utama iaitu jati diri sosiobudaya bangsa, entiti fizikal bangsa, yang paling ketara pastinya kelahiran Malaysia pada September 1963 dan akhir sekali, pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia.

Namun, di sebalik kejayaan ini masih wujud juga suara-suara ketidakpuasan hati rakyat Sabah dan Sarawak walaupun setelah 55 tahun kita membentuk sebuah negara Persekutuan melibatkan Perjanjian Malaysia – juga dikenali MA63 – yang menjadi asas kepada kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia. Isu-isu seperti pembayaran royalti minyak yang rendah, Borneonisasi penjawat awam yang masih gagal dilaksanakan yang memperlihatkan masih wujudnya dominasi penjawat awam dari Semenanjung dan kewangan negeri yang masih terhad merupakan antara isu yang sering dibangkitkan sehingga hari ini.

Dan tiga hari lalu juga di bawah era Malaysia Baharu, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyuarakan komitmen bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Kata beliau, pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA 63 memberi negara asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

“Pastinya keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak perlu diberi perhatian kerana masih ada daerah yang mundur dan kelengkapan yang amat daif,” kata Dr. Mahathir ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia Ke-55 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.

Sewajarnya kerajaan Persekutuan mengambil perhatian isu-isu yang dibangkitkan demi memperkukuhkan rasa kebersamaan atau kesatuan dalam kepelbagaian.

Perjanjian MA63 sewajarnya perlu ditunaikan kerana ia adalah perjanjian dan bukannya sebuah manifesto.
 
DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN