KANGAR – Taktik terbaharu sindiket penyeludupan haiwan eksotik menggunakan jalan laut melalui perairan Pulau Langkawi dan Kuala Perlis berjaya dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, hasil risikan, pihaknya berjaya menahan sebuah kapal dan tiga suspek lelaki warga Indonesia berusia 40 hingga 50 tahun dalam kejadian pada pukul 12.25 pagi semalam.
“Taktik penyeludupan melalui jalan laut ini dipercayai untuk mengaburi pihak kastam namun, tindakan itu gagal.
“Dalam rampasan di dalam kapal itu, sebanyak 39 buah kotak merangkumi 435 ekor haiwan eksotik telah dirampas.
“Rampasan ini merangkumi dua ekor anak Orang Utan, dua ekor anak musang albino, dua ekor burung cenderawasih, dua ekor burung jenis Alba Cockatoo dan dua ekor burung Electus Parrot.
“Selain itu, sebanyak 21 ekor burung Bayan Nuri, seekor burung Kuang Raya betina, 48 ekor anak buaya tembaga dan 355 ekor tupai jenis Sugar Glider.
“Penyeludup ini dipercayai dari Sumatera, Indonesia dan kesemua haiwan eksotik ini untuk pasaran negeri jiran seperti Indonesia dan Thailand,” katanya pada sidang media khas di Pejabat Penguatkuasaan Marin Kastam, Kuala Perlis di sini hari ini.

Sindiket tersebut menempuh jalan laut selama dua hari tiga malam menuju negara ini yang jaraknya melebihi 1,000 kilometer jika menggunakan akses laluan darat.
Dua ekor anak Orang Utan itu dalam keadaan resah dan takut ketika ditemui.
Difahamkan, harga pasaran gelap bagi 435 haiwan eksotik ini Kira-kira RM500,000 dan turut digemari wanita bujang untuk dijadikan haiwan peliharaan.
Dalam pada itu, Subromaniam berkata, ketiga-tiga suspek telah ditahan reman dan haiwan eksotik itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negera Semenanjung (Perhilitan) Perlis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 68, Seksyen 69 dan Seksyen 70 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). – K! ONLINE











