KUALA LUMPUR 21 Sept. – Walaupun pernah cenderung kepada pemikiran sosialisme dan gerakan politik kiri, ramai yang tidak tahu bahawa intelektual dan penulis, Allahyarham Dr. Kassim Ahmad pernah menyertai UMNO pada tahun 1986.

Menurut Pengerusi Yayasan Budi, Tan Sri Dr. Rais Yatim, beliau percaya Kassim Ahmad menyertai UMNO atas pengaruh sahabat baiknya iaitu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Mungkin saudara-saudari bertanya, kenapa akhirnya beliau masuk UMNO?
“Saya kira, walaupun Dr. Mahathir tidak mengaku, adalah sebab Tun (Dr. Mahathir) beliau masuk (UMNO), tetapi beliau hanya masuk atas prinsip mengikut apa yang benar,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Buku Autobiografi Seorang Pemberontak : Kassim Ahmad di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Hubungan Kassim Ahmad dengan Dr. Mahathir merupakan salah satu perkara yang dicatatkan dalam autobiografi tersebut.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (Umcedel), Prof. Madya Dr. Zulkarnain Abdul Rahman dan ahli keluarga serta sahabat Kassim Ahmad. – UTUSAN ONLINE











