Kami dalam PH saling melengkapi - Utusan Malaysia

Kami dalam PH saling melengkapi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TANGGAL
16 September lalu menyaksikan Parti Amanah Negara (Amanah) genap tiga tahun dilancarkan secara rasmi selepas berlaku perpecahan dalam Pas.

 

 

Tiada siapa menduga dalam usia setahun jagung, Amanah dilihat berjaya meletakkan diri sebaris dengan parti lain yang sudah lama wujud.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemimpinnya kini diberi tanggungjawab memegang jawatan menteri dan timbalan menteri di pelbagai kementerian dalam barisan Kabinet kerajaan Pakatan Harapan.

Sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Ketiga Amanah di Dewan Tun Razak, Temerloh, Pahang pada Sabtu ini, wartawan Utusan Malaysia, ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN mendapatkan pandangan Setiausaha Agungnya, MOHD. ANUAR TAHIR yang juga Ahli Parlimen Temerloh berhubung pencapaian parti tersebut.
 

UTUSAN: Dalam usia tiga tahun, pencapaian Amanah sebagai sebuah parti politik dilihat bergerak pantas. Bagaimana YB melihat prestasi ini?

MOHD. ANUAR: Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat melihat sebuah parti muda dalam negara kita ini mencapai usianya yang ketiga tahun. Suatu yang unik dan menarik kerana ia sebuah parti politik yang dilihat bergerak pantas sejak dilancarkan secara rasmi pada 16 September 2015. Amanah dipimpin oleh kumpulan kepemimpinan yang bukan sahaja mempunyai kapasiti intelek dan keulamaan tinggi bahkan komitmen, iltizam yang ada pada mereka serta penggerak parti itu adalah tinggi. Inilah faktor yang mendorong perkembangan parti ini yang berjalan dengan pantas.

Sebelum ini, ada yang melihat Amanah sebagai parti picisan tetapi kini pemimpinnya diberi jawatan dalam Kabinet. Apakah faktor yang mendorong kepada keadaan ini?

Amanah adalah sebuah parti yang berasaskan kesedaran dan cita-cita besar untuk menjadi sebuah parti yang dapat menggembeleng seluruh tenaga dan progresif dalam negara. Pakatan Harapan (PH) itu ditubuhkan oleh kesungguhan Amanah sendiri, hanya beberapa bulan sahaja selepas pelancaran Amanah, PH muncul sebagai sebuah gagasan baharu hasil daripada kesungguhan pemimpin-pemimpin Amanah berbincang, bermuzakarah dan berdialog dengan rakan-rakan parti politik lain yang mempunyai cita-cita sama untuk melihat perubahan negara.

Apakah Amanah bernasib baik kerana muncul ketika berlaku perubahan besar dalam landskap politik negara?

Pemimpin Amanah telah terlibat dalam gerakan perubahan, gerakan islah dan reformasi sejak berpuluh tahun lalu tetapi waktu itu ahli Amanah ini mungkin ada di parti A, B atau C. Sekarang, mereka menjadi tenaga progresif berkumpul di bawah satu kekuatan iaitu parti Amanah. Betul parti ini baharu tetapi pemimpin-pemimpin Amanah ‘season politician’ bukan sahaja berjuang bersama rakyat tetapi kadangkala turun ke jalan raya dan pernah merengkok dalam penjara.

Ada yang berpandangan Amanah hanya menumpang kekuatan parti lain dalam PH?

Parti mana yang kami tumpang? Tidak timbul siapa menumpang siapa kerana yang ada saling melengkapi. Yang ada adalah DAP dengan kekuatannya dan PKR dengan kekuatannya. Apabila ada kekuatan mustahil tiada kelemahan. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan kekuatannya dan parti baru tiga tahun ini dengan kekuatannya. Tetapi saya akui tentu ada kelemahan, jadi antara empat parti ini saling melengkapi dan kita menang tempoh hari kerana saling melengkapi.

Sasaran atau perancangan masa depan Amanah?

Parti ini ingin menjadi parti Malaysia yang tulen, kami ingin menjadi sebuah parti politik yang menjadi teladan dan sebuah parti politik yang di­terima seluruh rakyat negara ini. Dengan tema kami perjuangkan iaitu ‘inklusif dan peduli’ menjadikan kami sebuah parti yang akan menerima dan menggarap seluruh tenaga tanpa mengira bangsa dan agama mahupun budaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini