PETALING JAYA – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) masih dalam perbincangan dengan kerajaan untuk mengkaji semula perjanjian operasi (OA) yang mengandungi terma-terma lebih baik bagi membenarkan ia mendapatkan semula modal perbelanjaan (capex) untuk tujuan pembangunan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, kajian semula perjanjian berkenaan adalah ekoran pelaksanaan Asas Aset Dikawal Selia (RAB) yang akan membolehkan pengendali lapangan terbang berkenaan mampu mempertingkat kemudahan lapangan terbang di seluruh negara.
Jelas beliau, pengurusan lapangan terbang pada masa ini berada dalam persekitaran yang dikawal selia dengan ketat, yang mana di bawah OA semasa, kerajaan bertanggungjawab pada capex dan mekanisme caj perkhidmatan penumpang (PSC).
“Kerajaan tidak masuk campur dalam pengendalian ini tetapi di bawah OA yang ada, ia dikawal selia.
“MAHB mahu berubah daripada keadaan pengawalan harga kepada pemantauan harga yang akan membenarkan kami membelanjakan capex terlibat.
“Menerusi RAB, kami berpotensi menggunakan dana tersebut dengan memainkan peranan sebagai pemaju lapangan terbang daripada operator,” katanya dalam satu taklimat media di sini semalam.
Raja Azmi menambah, pihaknya tidak mampu memainkan peranan tersebut kerana ia akan meningkat fi pengguna kepada sehingga 33 peratus, di samping PSC yang telah ditetapkan.
Fi pengguna yang perlu dibayar MAHB kepada kerajaan pada masa ini adalah sebanyak 11.8 peratus atau lebih RM300 juta yang turut merangkumi sumbangan kutipan PSC dan caj-caj lain seperti pendaratan, meletakkan pesawat, kaunter daftar masuk serta perolehan perniagaan perhotelan dan kelapa sawit.
Selain itu, ia juga membayar kira-kira RM100 juta dividen kepada Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd. dan institusi lain serta cukai bernilai RM60 juta.
“Walaupun OA semasa yang dikuatkuasa pada tahun 2009 hingga 2034 itu lebih baik daripada perjanjian konsesi sebelum ini tetapi ia masih memerlukan penambahbaikan,” katanya.
Oleh demikian, Raja Azmi berkata, MAHB sememangnya mempunyai keinginan untuk menambah baik lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur agar mencapai standard seperti Lapangan Terbang Changi di Singapura yang dilihat antara terbaik di dunia.
“Kami berharap untuk mempunyai fleksibiliti mengumpul pendapatan bagi tujuan itu,” katanya sambil memberitahu bahawa mekanisme di Changi adalah berbeza dengan MAHB.
Ini kerana hasil dari Changi digunakan sepenuhnya bagi lapangan terbang itu, manakala MAHB perlu menguruskan 39 lapangan terbang di bawahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MAHB berharap untuk memuktamadkan OA terlibat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.











