IPOH 18 Sept. – Ketiadaan tempat latihan tidak menjadi penghalang kepada atlet Sarawak, Johnny Ling Siew Hong untuk memenangi pingat emas acara baling tukul besi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 serta meleburkan rekod temasya dwitahunan itu di Stadium Perak, hari ini.
Atlet berusia 19 tahun itu membuat balingan sejauh 57.37 meter (m) yang mengatasi rekod rakan senegerinya Micheal Sia Sung Dak yang melakukan 56.98m ketika Sukma 2014. Perak dimenangi Ngu Ing Biao juga dari Sarawak dengan catatan 53.14m manakala Sadat Marzuqi Ajisan dari Negeri Sembilan memenangi gangsa dengan jarak 51.68m.
“Jujurnya saya berasa terkejut, memang saya mensasarkan pingat tetapi saya tidak menyangka dapat meleburkan rekod temasya.
“Kejayaan ini membuatkan usaha saya selama ini membuahkan hasil kerana saya juga melakukan balingan peribadi terbaik. Saya menetap di Sibu dan tempat latihan saya pula di Bintangor dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Tong Hua.
“Saya perlu memandu selama 30 minit sehala untuk ke tempat latihan kerana di tempat saya kekurangan fasiliti dan sukar untuk saya berlatih,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.











