CYBERJAYA 14 Sept. – Portal carian kerja, JobsMalaysia 2.0 menampilkan ciri-ciri mesra pengguna dengan mampu menampung sehingga 19 juta pengguna berdaftar serta mengendalikan 40,000 capaian secara serentak pada satu-satu masa.
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, portal berkenaan juga lebih efisien dengan aplikasi mudah alihnya boleh dimuat turun di Android Google Play Store dan Apple iOS App Store.
Beliau berkata, buat ketika ini, sebanyak 162,000 pekerjaan ditawarkan di portal berkenaan yang telah ditambah dengan pelbagai ciri-ciri baharu termasuk ujian psikometrik untuk membantu mengenal pasti minat kerjaya para penggunanya.
“Penambahbaikan ini bertujuan memastikan majikan dan pencari kerja mendapat perkhidmatan pekerjaan yang lebih efisien.
“Portal baharu ini menampilkan ciri pemadanan automatik dan memberikan syor berkenaan peluang pekerjaan yang bersesuaian dan tawaran tersebut diemelkan terus kepada calon,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan portal JobsMalaysia 2.0 di Pusat JobsMalaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










