KUALA KANGSAR 15 Sept. – Jenazah dua beradik dan anak saudara mereka yang maut selepas kenderaan yang dinaiki dirempuh sebuah treler di Kilometer 44.5, Kampung Jamuan, Kati di sini semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beluru di sini hari ini.
Jenazah Mohammad Asyraf Hamdan Al-Fikri, 27, dan adiknya, Muhammad Irfan, 17, serta Muhammad Amirul Fahmi Samsudin, 12, dikebumikan dalam satu liang lahad pada pukul 12 tengah hari.
Terdahulu, jenazah kesemua mereka yang dibawa dari Hospital Kuala Kangsar tiba di Masjid Jamek Kampung Beluru antara pukul 9.25 hingga 10.36 pagi dan disembahyangkan buat kali terakhir di masjid tersebut.
Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah ketiga-tiga mangsa dengan lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan penduduk kampung hadir menghadiri majlis pengkebumian.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta jenis Nissan Sunny dipandu Mohammad Asyraf telah dirempuh sebuah treler balak tanpa muatan dipandu lelaki berusia 40 tahun yang memasuki laluan bertentangan.
Kejadian itu dipercayai berlaku setelah pemandu treler terbabit cuba mengelak haiwan hingga menyebabkan kenderaan berat tersebut hilang kawalan dan melanggar kenderaan mangsa hingga menyebabkan ia terperosok masuk di bawah treler berkenaan.
Pelanggaran itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu treler pula cedera ringan.
Ketika kejadian, ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar menghala Sungai Siput manakala lori tersebut pula dari arah bertentangan. – UTUSAN ONLINE










