Jalan tutup, pelanggan kurang - Utusan Malaysia

Jalan tutup, pelanggan kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 19 Sept. – Jalan tutup, pelanggan kurang. Itu antara keluhan peniaga medan selera di Stadium Perak di sini mengenai kehadiran pelanggan di kedai mereka sepanjang Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 berlangsung.

Seorang peniaga, Normah Abu Bakar, 50, berkata, sehari sebelum pembukaan temasya itu, keadaan di medan selera agak lengang kerana pelanggan tidak dapat datang ke kedai ekoran beberapa jalan ditutup.

Katanya, keadaan itu menyebabkan terdapat peniaga mengalami kerugian apabila barang jualan mereka terpaksa dibuang begitu sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Isnin dan Selasa lepas memang sunyi sebab pe­langgan susah masuk (jalan tutup). Hanya pada petang Selasa sahaja medan selera ini kembali meriah kerana ada majlis pembukaan pada sebelah malam.

“Kami hanya harapkan orang baharu seperti atlet dan sukarelawan. Itu pun bukan semuanya makan di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, keadaan itu bagaimanapun tidaklah terlalu menjejaskan perniagaannya kerana masih mengaut keuntungan walaupun sedikit.

“Mahu kata untung ba­nyak sangat pun tidak, rugi pun tidak. Jika hari biasa saya biasa masak empat ke lima ekor ayam, semasa Sukma saya masak 10 ekor ayam.

“Saya rasa jika jalan tidak ditutup, mungkin akan le­bih banyak untung dan kami tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya yang telah berniaga di situ sejak 23 tahun lalu.

Bagi Baharuddin Aziz, 54, pada empat hari terawal temasya itu berlangsung, kehadiran pelanggan di medan selera tersebut berkurangan kira-kira 20 peratus.

“Bermula Sabtu lalu keadaan kembali pulih, jika tidak lebih teruk (jualan) daripada hari biasa kerana jalan tutup. Bagi mereka yang berkeluarga, sukar untuk berjalan jauh.

“Apa pun, bolehlah buat untung sikit. Jika hari biasa saya masak 30 kilogram kuetiau, semasa Sukma bertambah kepada 50 kilogram,” kata­nya yang me­ngakui penganjuran pro­gram di Stadium Perak membantu menambah penda­patan pe­niaga setempat.

Sementara itu, Muhamad Zaky Effendy, 25, mengakui meraih keuntungan semasa Sukma berlangsung namun keadaan banyak ja­lan yang ditutup menyebabkan pe­langgan tetapnya tidak dapat datang ke medan selera itu.

“Adalah untung sikit, ti­daklah banyak sangat. Pada tiga hari pertama, ha­nya lepas modal dan gaji sahaja. Itu pun harap kepada pe­langgan baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini