Nama Izzue Islam sentiasa relevan dalam industri hiburan tanahair waima ramai pelakon baharu yang menekuni lapangan seni dengan taburan bakat masing-masing.
Selain bakat dan wajah kacak yang dimiliki, ironinya, di belakang Izzue terdapat seorang wanita bernama Awin Nurin yang pandai menguruskan karier seni lelaki itu.
Izzue antara artis yang mudah memberikan kerjasama kepada media biarpun di saat kontroversi datang menyapa dirinya.
Maka, apabila penyanyi kumpulan Forteen itu terpalit kontroversi selepas berkongsi gambar dirinya bertudung di laman Instagram baru-baru ini, pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan itu, pantas menjawab pertanyaan penulis berserta permohonan maaf.
Hakikatnya, pelakon dan penyanyi berusia 28 tahun itu tidak menyangka gambar berkenaan mengundang persepsi negatif daripada segelintir daripada 2.4 juta pengikutnya di laman Instagram itu.
“Sejujurnya, saya tidak menyangka gambar berkenaan menjadi tular. Siapa yang kenal karakter saya, mungkin mereka tidak menganggap apa-apa. Sebaliknya, pada mereka yang tidak selesa dengan gambar berkenaan, saya mohon maaf. Niat saya hanya melawak,” ujarnya berbasa-basi ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Melanjutkan bicaranya, Izzue mengakui tidak bercadang untuk melakukan promosi dengan cara demikian (pakai tudung). Bagaimanapun, idea itu tiba-tiba muncul selepas koleksi tudung miliknya iaitu @izzuexclusive ada membuat crazy sale (jualan gila-gila).
“Tudung Izzuexclusive sedang mengadakan crazy sale yang berlangsung dari 24 September hingga 15 Oktober di Instagram @izzuexclusive. Alhamdulillah tudung berkenaan sudah habis dijual,” ujar Izzue mengenai sambutan terhadap promosi hangat yang dilakukannya itu.
Pada masa sama, pelakon drama Suami Sebelah Rumah itu juga turut menjalankan beberapa rangkaian bisnes seperti kurta, boxer, Lipmatte dan Two Way Cake Powder.
Dalam perkembangan lain, Izzue mengakui, dia teruja apabila kumpulan Forteen berjaya melayakkan diri menyertai program realiti popular Gegar Vaganza (GV) musim kelima.
“Sebenarnya kami (Forteen) terkejut apabila mendapat peluang bersaing dengan nama-nama besar seperti Zamani, Elite, Dia Fadilla dan lain-lain lagi. Apa-apapun kami berjanji akan memberikan persembahan yang terbaik nanti,” ulas Izzue.
Menurut Izzue, GV5 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 30 September (hari ini) secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Malah, program berkenaan akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad, 9 malam itu.
Selain itu, Izzue juga sedang giat mempromosikan single solonya berjudul My City. Malah, lagu berkenaan boleh ditonton di laman YouTube izzueislamTV.











