Istiadat Pertabalan Sultan Kedah bermula - Utusan Malaysia

Istiadat Pertabalan Sultan Kedah bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 20 Sept. – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Istiadat Letak Kerja sempena pertabalan baginda sebagai Sultan Kedah Ke-29 di Balai Besar di sini hari ini.

Istiadat Letak Kerja tersebut berlangsung dalam suasana tradisi dan penuh adat resam Kesultanan Melayu Kedah sebagai simbolik tanda perkenan Sultan Kedah untuk memulakan istiadat pertabalan baginda.

Sultan Sallehuddin bakal ditabalkan sebagai Sultan Kedah di Istana Anak Bukit di sini pada 22 Oktober depan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berangkat sama dalam istiadat itu, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Arif dan Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Datin Seri Norzieta Zakaria.

Istiadat itu dimulakan de­ngan perarakan membawa masuk batil perak yang diisi air mata dari 12 daerah di negeri ini yang diakhiri dengan membawa air zam-zam.

Kesemua air berkenaan diambil daripada sumber air yang terdapat di setiap daerah seperti air mata air di Gunung Keriang (Kota Setar), Air Terjun Tupah (Kuala Muda), Air Sungai Sedim (Kulim), Gunung Inas (Baling) dan Lata Embun (Sik).

Istiadat Letak Kerja itu dite­ruskan dengan perarakan membawa masuk sembilan jenis bunga-bungaan oleh ahli kerabat diraja.

Bunga-bungaan tersebut adalah bunga cempaka kuning, bunga melur, bunga kesidang, bunga melati, bunga kenanga, bunga lili, bunga mawar kuning, bunga kekwa dan bunga harum malam.

Perarakan itu diakhiri dengan membawa masuk dulang yang mengandungi sintok, limau dan kemenyan oleh tiga penghulu.

Semua air mata air, bunga-bungaan, sintok, limau dan kemenyan itu akan digunakan dalam Istiadat Siram Tabal yang dijadualkan berlangsung di Istana Anak Bukit, 14 Oktober depan.

Pada 12 September 2017, Sultan Sallehuddin diisytiharkan sebagai Sultan Kedah Ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat sehari sebelumnya.

Baginda yang diputerakan pada 30 April 1942 di Alor Setar merupakan anakanda kesembilan Almarhum Sultan Badlishah dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan seterusnya menyambung pengajian di Kolej Sultan Abdul Hamid.

Baginda bertemu jodoh de­ngan Sultanah Maliha Tengku Ariff yang merupakan kerabat diraja Kelantan dan dikurniakan dua putera, Tengku Sarafudin Badlishah yang diputerakan pada 2 Mac 1967 dan Datuk Tunku Shazudin Ariff diputerakan pada 27 April 1970.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini