Indeks Kebebasan Ekonomi : Malaysia ke-79 - Utusan Malaysia

Indeks Kebebasan Ekonomi : Malaysia ke-79

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kedudukan Malaysia bagi Indeks Kebebasan Ekonomi jatuh 14 anak tangga daripada kedudukan ke-65 kepada tangga ke-79 dalam Laporan Tahunan 2018: Kebebasan Ekonomi Dunia.

Ali Salman
ALI SALMAN

Laporan tersebut dikeluarkan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dengan­ kerjasama Institut Fraser Kanada berasaskan data daripada 2016 bagi mengukur sejauh mana kebebasan ekonomi dengan menganalisis dasar dan institusi melibatkan 162 buah negara dan wilayah.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Ali Salman berkata, penurunan secara mendadak itu adalah sangat membimbangkan walaupun ia mengambil kira data pada 2016 dan 2017, memandangkan kedudukan tersebut mencerminkan ruang untuk sektor swasta di Malaysia telah diperketatkan, perniagaan ter­halang dan saiz kerajaan mening­kat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan itu memerlukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyemak semula secara komprehensif dasar-dasar ekonomi merangkumi bidang kritikal terutama pembaharuan syarikat milik kerajaan (GLC).

“Selain itu, kerajaan juga perlu meneliti semula saiz perkhidmatan awam dan kawal selia perniagaan, yang mana kami telah menjalankan penyelidikan dan memperjuangkan isu ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan laporan itu, skor Malaysia dalam kebebasan ekonomi (diukur beradasarkan indikator 1 hingga 10) menyaksikan saiz kerajaan meningkat kepada 6.86 berbanding 6.80 dalam laporan yang dikeluarkan tahun lalu.

Bagi sistem perundangan dan hak harta pula tidak berubah pada 5.76 diikuti akses kepada kewangan (5.79 daripada 7.01), kebebasan kepada perdagangan antarabangsa (meningkat kepada 7.54 daripada 7.51) dan kawal selia kredit, buruh dan perniagaan (8.62 daripada 8.65).

Laporan 2018 itu disediakan James Gwartney dari Florida State University, Robert A. Lawson dan Ryan Murphy (Southern Methodist University) dan Joshua Hall (West Virginia University).

Berdasarkan laporan itu, Hong Kong dan Singa­pura sekali lagi berada dalam kedudukan teratas dengan ma­sing-masing di tempat pertama dan kedua dalam indeks tersebut.

Ini diikuti New Zealand, Switzerland, Ireland, Amerika Syarikat, Georgia, Mauritius, United Kingdom (UK), Australia dan Kanada (yang berkongsi tempat ke-10).

Untuk 10 negara paling bawah pula terdiri daripada Sudan, Guinea-Bissau, Angola, Republik Afrika Tengah, Republik Congo, Syria, Algeria, Argentina, Libya dan Venezuela, di kedudukan terakhir.

Beberapa negara kuku besi seperti Korea Utara dan Cuba pula tiada dalam senarai dise­babkan kekurangan data.

Negara-negara lain yang turut berada dalam laporan itu termasuklah Jerman di tangga ke-20, Perancis (tangga ke-57), Rusia (tangga ke-87) dan China (tangga ke-108).

Menurut kajian dalam jurnal akademik yang dikaji semula, penduduk yang mendiami negara yang memiliki kebebasan ekonomi yang tinggi menikmati kemakmuran yang lebih baik, lebih banyak kebebasan politik dan sivil serta hidup lebih lama.

Sebagai contoh, negara teratas dalam 25 peratus kebebasan ekonomi (seperti UK, Jepun dan Ireland) mempunyai pendapatan per kapita sebanyak AS$40,376 (RM166,918) pada 2016 berbanding AS$5,649 (RM23,353) untuk negara dalam kedudukan bawah (seperti Vene­zuela, Iran dan Zimbabwe).

Malah, didapati penduduk di negara yang dalam kedudukan teratas mempunyai tempoh hayat lama iaitu 79.5 tahun berbanding 64.4 tahun bagi negara dalam kedudukan bawah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini