“SAYA cukup berpuas hati main golf di sini. Bukan sahaja lapangannya cantik, bahkan green juga memuaskan, tidak seperti empat atau lima tahun yang lalu,” kata seorang pemain golf, Muhammad Adam Eiman, 35, yang ditemukan sebaik sahaja selesai menghabiskan permainannya di lubang 18 di Impian Golf & Country Club (IGCC), Kajang, Selangor.
Kepuasan bermain golf di IGCC ini turut diakui temannya, Asyraf Rosdi, 30, yang mengakui kondisi lapangan dan green di IGCC memberi keseronokan kepadanya sepanjang permainan 18 lubang.
“Beraksi di IGCC ini seolah-olah merealisasikan impian setiap pemain golf yang inginkan kepuasan. Memang berbaloi berbelanja untuk merasai cabaran dan kelainan di lapangan ini,” katanya sambil menunjukkan isyarat bagus.
Seperti kelab-kelab golf terkenal yang lain, IGCC yang terletak kira-kira 40 kilometer dari Kuala Lumpur turut menampilkan cabarannya dalam kelas tersendiri dengan lapangannya yang sedikit beralun, disulami dengan 61 bunker berhampiran green serta enam kolam untuk memerangkap bola pukulan pemain.
IGCC yang kini menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran kejohanan besar seperti PGM Tour – PGM UMW Championship dan PGM Ladies Championship, terus menjadi pilihan pemain golf amatur dan juga profesional untuk turut merasai kelainan beraksi di IGCC.
Rekaan lapangan hasil sentuhan arkitek Ross Watson dengan hamparan rumput ‘bermuda green less park’ di ‘fairway’ sepanjang 6,254 meter dan rumput ‘bermuda tifdwarf’ untuk green nyata memberi kepuasan kepada setiap pemain yang beraksi di sini.
Cabarannya benar-benar terserlah tatkala pemain hendak melakukan ‘tee off’ pada lubang 12 – par 3 yang menjadi ‘signature hole’ dengan kolam di hadapan ‘tee box’ sambil dihiasi dengan pancutan air, seolah-olah cuba menganggu pukulan setiap pemain.
KEMUDAHAN
‘Drink hut’ turut disediakan berhampiran lubang 6 dan 15 bagi kemudahan kepada pemain yang ingin menghilangkan dahaga dengan pelbagai minimun sejuk dan panas, serta makanan untuk pemain yang terasa lapar pada harga yang berpatutan.
Selesai sahaja menghabiskan permainan, pemain boleh menghilangkan rasa penat di ‘golf terrace’ sambil menjamu selera dengan hidangan yang lazat. Antara menu yang menjadi kegemaran ramai ialah masak lemak nyonya kepala ikan merah, kari kepala ikan merah dan asam pedas kepala ikan.
Ubah suai turut dilakukan di bilik persalinan dengan wajah baharu yang lebih tersusun dengan gaya eksklusif bagi memberi lebih keselesaan kepada pemain, di samping kemudahan surau kepada mereka yang beragama Islam.










