JUARA remaja dunia 2015, Goh Jin Wei berhasrat untuk menghadiahkan pingat emas Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Buenos Aires, Argentina bermula 6 hingga 18 Oktober untuk menceriakan kembali kem badminton negara.
Tampil buat kali pertama, Jin Wei optimis berupaya untuk melunaskan impian tersebut memandangkan sudah biasa dengan saingan pada kejohanan-kejohanan peringkat senior.
Bagaimanapun, Jin Wei menegaskan bahawa dia tidak memandang mudah saingan pemain muda negara lain dan akan melakukan video analisis seperti biasa sebelum setiap perlawanan.
Pemegang pingat emas Sukan SEA 2017 tersebut turut mendedahkan bahawa kecederaan lutut kanan yang dialaminya tidak membimbangkan.
“Memang kem badminton agak sunyi tanpa Datuk Lee Chong Wei. Justeru, saya berharap dapat menghadiahkan pingat emas bagi menyemarakkan lagi semangat skuad kebangsaan.
“Secara peribadi, saya juga perlukan kemenangan ini untuk melonjakkan lagi keyakinan saya pada saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula tahun depan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan Jalur Gemilang di kedutaan Argentina, Kuala Lumpur semalam.
Majlis dihadiri Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.
Turut hadir Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Duta Besar Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas.
Dalam pada itu, Norza merangkap Presiden Badminton Malaysia (BAM) enggan menamakan Jin Wei sebagai sasaran penyumbang pingat pertama YOG 2018 nanti.
Biarpun berkeyakinan, Norza enggan memberi tekanan terhadap atlet pembawa bendera tersebut agar dia dapat menumpukan perhatian pada permainan.
“Kita ada banyak sukan yang berpeluang menyumbangkan pingat emas, namun saya enggan meletakkan spesifik atlet untuk melunaskan misi tersebut.
“Walaupun Jin Wei berpotensi besar, tapi tekanan boleh mengganggu ketahanan mental dan motivasinya untuk melakukan yang terbaik,” ujarnya.











