PERAK muncul sebagai pasukan yang meraih pingat emas acara bola sepak secara hatrik pada Sukan Malaysia (Sukma) selepas menewaskan Kedah 2-1 pada aksi final di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Pada aksi itu, Kedah terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma kapten, Mohd. Fadzruo Danel Mohd Nizam pada minit ke-64.
Bagaimanapun, skuad The Bos Gaurus menyamakan kedudukan menerusi tandukan Alif Safwan Mohd. Sallahuddin sebelum Muhammad Asyraaf Mat Pushni melengkapkan kebangkitan bergaya dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-70.
Pasukan tuan rumah mengulangi pencapaian Pahang (1992, 1994 dan 1996) dan Terengganu (2006, 2008 dan 2010) menepati ramalan sebagai pasukan pilihan untuk merangkul ibu segala pingat emas itu.
Sebagai rekod, kali terakhir Kedah memenangi pingat emas Sukma ketika menewaskan Sarawak pada aksi final di Stadium Merdeka pada tahun 1986.










