KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.
Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong itu mengesahkan perkara tersebut menerusi kenyataannya pada sebuah akhbar hari ini.
“Pertemuan tersebut hanya untuk mendengar rancangan Perdana Menteri untuk masa depan bangsa dan negara. Itu sahaja yang dibincangkan dan tiada soal lain.
“Berhubung dakwaan kononnya akan keluar parti, tiada sebab untuk saya berbuat demikian buat masa ini. Bagaimanapun, bagi saya kepemimpinan perlu menunjukkan hala tuju yang jelas kepada semua ahli-ahli UMNO untuk mengelakkan lebih ramai keluar parti,” katanya.
Hishammuddin dilaporkan bertemu Mahathir dalam satu perjumpaan tertutup selama dua jam di Putrajaya.
Pertemuan tersebut didedahkan oleh Penasihat Media Mahathir, Datuk A. Kadir Jasin menerusi status yang dimuat naik di laman Facebook milik beliau.
Berita pertemuan itu didedahkan selepas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO. – K! ONLINE









