TIDAK dinafikan, agak lama kita tidak mendengar perkhabaran penyanyi yang pernah popular kira-kira sedekad lalu, Hetty Sarlene. Antara karya yang pernah mengangkat namanya, termasuklah lagu Sangsi Asmara yang popular pada tahun 2001 serta drama bersiri Sembilu Kasih sekitar 2007.
Bagaimanapun, selepas itu, namanya tenggelam dibawa arus masa beberapa tahun lamanya. Sehinggalah, berita mengenai dirinya muncul semula apabila gadis kelahiran Singapura itu berhasrat mengakhiri zaman bujangnya dengan jejaka Inggeris, Daniel Oakes pada tahun 2016.
Sejak mendirikan rumah tangga, penyanyi berusia 34 tahun itu juga seolah-olah hilang tanpa khabar berita. Bagaimanapun, menurut pelakon filem Sembilu 2005 itu, dia sebenarnya tidak pernah meninggalkan industri hiburan. Hakikatnya, dia masih ada dalam radar seni, cuma katanya, selepas berkahwin dia banyak memberikan keutamaan dan fokus kepada rumah tangga.
“Selepas berkahwin memang fokus kepada suami. Bukanlah saya menghilangkan diri. Tawaran itu masih ada, cuma saya tidak berapa aktif pada masa itu. Lagipun saya banyak mengikut suami memandangkan dia selalu bekerja di luar kawasan,” katanya ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Hetty, dia dan suami membuat keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan karier seninya selepas ini. Ini ditambah bermula malam ini, Hetty akan membuat kemunculan semula di pentas Gegar Vaganza musim kelima (GV5) selepas kira-kira enam tahun ‘mendiamkan’ diri dalam dunia nyanyian.
“Kali terakhir saya merakamkan lagu pada tahun 2012 menerusi lagu Siapa Diriku Di Sisimu. Jadi, apabila dapat tawaran untuk terlibat dengan program tersebut, saya pun fikir mungkin inilah masanya untuk buat kemunculan semula.
“Lagipun sebelum ini apabila menyanyi di aplikasi Smule, ramai peminat menyatakan pandangan untuk saya menyertai program itu. Mereka kata, saya masih boleh menyanyi, mengapa tidak mencuba. Apabila diterima ini, perasaan itu berbaur-baur antara teruja dan pada masa sama gementar,” katanya.
Katanya, keputusannya untuk menyertai GV5 itu juga disokong kuat suaminya. Justeru, bagi memudahkan urusan kerjayanya, dia membuat keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur.
“Sebenarnya saya sudah berpindah ke sini sepenuhnya dalam beberapa minggu. Lagipun, saya terlibat dengan GV5, selain mempunyai perancangan untuk kembali bergiat aktif dalam lakonan. Suami pun okey dengan keputusan itu. Bahkan, suami pun akan berpindah dari Singapura ke sini atas sebab urusan kerja juga.
“Lagipun kami masih belum dikurniakan cahaya mata lagi. Jadi, secara tidak langsung, ia lebih mudah buat kami untuk proses perpindahan,” katanya yang memberitahu suaminya terlibat dalam bisnes logistik.











