Hasil Glomac RM57.6j - Utusan Malaysia

Hasil Glomac RM57.6j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Glomac Bhd. (Glomac) mencatatkan hasil seba­nyak RM57.6 juta dan untung sebelum cukai sebanyak RM2.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan semasa yang berakhir 30 April 2019.

Glomac berkata, margin untung kasar meningkat disebabkan oleh penjimatan kos daripada projek yang telah siap dan aliran tunai yang positif daripada operasi.

Katanya, hasil disumbangkan sebahagian besarnya daripada Bandar Saujana Utama, Sri Saujana dan Saujana KLIA.

“Pada suku tahun yang dilaporkan, Glomac telah melancarkan projek pembangunan kediaman bersepadu hak milik kekal, Plaza @ Kelana Jaya dengan blok pertama pangsapuri perkhidmatan yang dilancarkan pada suku pertama mendapat sambutan yang memberangsangkan dengan kadar jualan 60 peratus.

“Projek tersebut dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM350 juta, merangkumi 696 buah pangsapuri perkhidmatan serta 16 pejabat kedai tiga tingkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Glomac berkata, kumpulan bercadang untuk menggiatkan pelancaran baharu bagi memanfaatkan sentimen pengguna ekoran perubahan pentadbiran kerajaan baru-baru ini.

“Pada tahun kewangan 2019 kumpulan merancang untuk membuat pelancaran projek berjumlah RM1 bilion yang tertumpu kepada segmen pasaran pertengahan dan mampu milik,” katanya.

Ujarnya, sektor hartanah dijangka tetap mencabar memandang­kan peningkatan gaji yang perlahan dan dasar pinjaman ketat terus menjejaskan jualan.

“Namun begitu, kumpulan tetap yakin bahawa pilihan produk peringkat pertengahan dan mampu milik yang kukuh akan menarik perhatian pembeli daripada golongan milenial yang meliputi demografi pembeli rumah pertama terbesar,” katanya.

Dalam perkembangan lain Glomac turut memaklumkan te­lah memperoleh peruncit antarabangsa bagi Glo Damansara Mall, yang dijangka dapat mening­katkan kadar penghunian pusat beli-belah berkenaan daripada 45 peratus kepada 85 peratus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN