PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober depan (Sabtu) sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.132 Port Dickson, Negeri Sembilan.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya turut menetapkan 29 September (Sabtu) ini sebagai hari penamaan calon manakala hari mengundi awal pada 9 Oktober 2018 (Selasa).
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula pada hari penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 12 Oktober 2018,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat PRK Parlimen Port Dickson di sini hari ini.
Othman berkata, seramai 75,770 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK Parlimen Port Dickson iaitu mengikut daftar pemilih sehingga suku kedua 2018 yang dikemaskini sehingga 11 September lalu.
“Daftar pemilih berdaftar itu terdiri daripada 68,486 orang pemilih biasa, 7,268 pemilih awal dan 16 orang pemilih tidak hadir luar negara.
“Bagi menjalankan prose pilihan raya kecil tersebut, SPR telah melantik Khairy Maamor sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson dan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi,” katanya.
Jelas beliau, PRK kali ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta iaitu melebihi PRK lalu kerana Parlimen ini mengandungi lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya di mana kawasannya agak luas.
Tambah Othman, SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi dan pihaknya akan melaksanakan ‘Jom Kita Undi’ melalui pelnagai saluran media di lokasi-lokasi strategik di tempat tumpuan awam.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, untuk membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas. – K! ONLINE











