KUALA LUMPUR 22 Sept. – Kedudukan ke-19 yang dicatat Hafizh Syahrin Abdullah dalam saingan kelayakan bagi kelas utama MotoGP, sebentar tadi, menyebabkan pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu perlu bekerja keras dalam perlumbaan sebenar Grand Prix Motosikal Aragon di Sepanyol, esok.
Pelumba berasal dari Ampang, Selangor itu mencatat masa sepusingan 1 minit 48.975 saat (s) untuk menempatkan dirinya di barisan ketujuh bersama-sama penunggang Switzerland, Thomas Luthi dan Scott Redding dari Great Britain setelah kedua-dua mereka menamatkan aksi kelayakan di kedudukan ke-20 serta ke-21.
Menempah petak utama dalam saingan di Litar Alcaniz itu ialah juara dunia 2015, Jorge Lorenzo dari Sepanyol setelah dia melakar masa terpantas 1:46.881s, sementara kedudukan kedua dan ketiga menjadi milik pelumba Itali, Andrea Dovizioso (1:46.895s) serta seorang lagi penunggang tuan rumah, Marc Marquez (1:46.960s). – UTUSAN ONLINE











