Sambil mengunci lengan pihak lawan, Halim el-Achkar memberikan tekanan sehingga menghentam lengan pihak lawan ke permukaan meja seterusnya memenangi perlawanan sengit gusti lengan di podium Jounieh, Lebanon.
Berbekalkan bicep berotot dan bercacah tatu, pemuda berusia 25 tahun itu teruja apabila sukan zaman kuno negara itu diberikan nafas baharu.
“Saya amat menyukai sukan ini kerana ia merupakan simbol kekuatan dan kelelakian.
“Disiplin ini perlu dimartabatkan semula agar ia mendapat tempat dalam hati rakyat, sama seperti sukan bola keranjang,” kata lelaki berjambang lebat itu.
Kejohanan itu diadakan di Jounieh iaitu bandar Lebanon yang terletak berhampiran Beirut.
Ia merupakan kejohanan tahunan kedua yang dianjurkan oleh federasi gusti lengan negara itu.
Kata pengasasnya, Karim el-Andary, federasi tersebut telah menerima seramai 750 ahli yang berlatih untuk beraksi pada tahap antarabangsa sejak ditubuhkan tahun lalu.
Sejak awal penubuhan, hanya satu matlamat yang ditetapkan iaitu bagi meraih pengiktirafan antarabangsa dalam sukan gusti lengan.
“Kami ingin meletakkan Lebanon dalam peta dunia menerusi sukan ini.
“Hal ini kerana sukan gusti lengan merupakan akar umbi tradisi rakyat Lebanon.
“Kami mewarisinya turun-temurun daripada nenek moyang. Disebabkan itulah ia menjadi tanggungjawab kami memeliharanya,” jelasnya.
Ia merupakan misi yang boleh dicapai lebih-lebih lagi apabila dua orang ahlinya meraih pingat emas pada pertandingan di Itali tahun lalu.
Menurut Persekutuan Warisan dan Sukan Tradisional Lebanon, Maroun Khalil, sejak awal abad ke-19 lagi golongan lelaki di kawasan kampung seluruh negara itu akan mempamerkan kekuatan mereka dengan bergusti di atas meja.
“Tradisi ini telah tersebar ke seluruh negara kami.
“Ia bukan sahaja acara yang mengisi waktu lapang malah merupakan cara menyelesaikan masalah di kampung tanpa berlaku pertumpahan darah,” ujarnya.
Sukan kuno itu kini menarik golongan peminat baharu di Lebanon.
Baru-baru ini, ratusan pengunjung berhimpun di Jounieh untuk menyaksikan pertandingan gusti lengan sekali gus merebut pingat emas bagi kategori lelaki dan wanita.
Darah daging
Satu-satu perlawanan akan mengambil masa hanya beberapa saat dan ia mungkin berlarutan sehingga beberapa minit dengan sekurang-kurangnya dua orang pengadil yang menunggu di tepi meja mengira setiap kesalahan.
Seorang wakil Lebanon, Pierre Harb, 31, melangkah ke podium itu untuk bertanding pada kejohanan tersebut buat pertama kali.
“Gusti lengan ini bagai sudah menjadi darah daging saya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Harb tumpas pada tangan pihak lawan yang usianya 14 tahun lebih tua daripadanya selain memiliki tubuh lebih tinggi dan berotot.
Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu lelaki bawah 90 kilogram (kg), lelaki atas 90kg dan kategori wanita.
Daripada 300 penyertaan pada kejohanan peringkat kebangsaan musim panas lalu, satu per enam sahaja wanita yang menyertai.
Ia merupakan kali pertama golongan wanita menyertai pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan.
Menurut peserta wanita, Amany Abi Khalil, 22, determinasi untuk menyertai kejohanan itu adalah untuk menyingkir tanggapan salah bahawa kekuatan fizikal itu dikuasai oleh golongan lelaki.
“Saya datang ke sini untuk menunjukkan golongan wanita juga mampu menceburi sukan ini.
“Ramai orang meragui keputusan saya tetapi kedua-dua ibu bapa dan sahabat tetap menyokong saya,” jelas pelajar jurusan teater itu.
Pemenang kategori wanita dalam kejohanan itu, Teresa Bassil, 16, berkata, golongan wanita kini mampu memecah tembok sukan yang dimonopoli oleh golongan lelaki.
Apabila Bassil naik ke atas pentas untuk menerima hadiah kejuaraan, beliau menerima tepukan gemuruh daripada golongan lelaki.
“Kekuatan itu bukan kepunyaan golongan lelaki sahaja sebaliknya kami sebagai seorang wanita juga sebenarnya cukup kuat,” tegasnya. – AFP










