PUTRAJAYA – Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kimanis dan ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Anifah berkata, keputusan meninggalkan parti yang disertainya sejak lebih 25 tahun tersebut berkuat kuasa serta-merta.
“Betul saya keluar UMNO. Ia berkuat kuasa serta-merta,” katanya kepada Bernama di sini.
Anifah berkata, beliau akan mengulas lanjut tentang keputusannya itu pada sidang media yang akan diadakan dalam masa terdekat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Anifah mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 156 undi, mengatasi calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang dan Jaafar Ismail (Harapan Rakyat). – Bernama









