PARIT BUNTAR 26 Sept. – Kerja kampung biasanya dikaitkan dengan generasi yang sudah berumur, namun tidak bagi sekumpulan anak muda di sini yang menjadikan kerja di sawah sebagai pendapatan mereka.
Pengalaman sejak kecil membantu ibu bapa mereka menjalankan kerja-kerja di sawah menyebabkan mereka tidak kekok melakukan kerja yang kini memberikan mereka sumber kewangan.
Seorang remaja, Fauzail Azwan Hasbullah, 19, di Parit Tanjung Piandang di sini berkata, sudah sampai masanya mereka generasi muda mengambil alih kerja sawah padi daripada orang tua mereka.
Malah selepas menamatkan persekolahan beberapa tahun lalu, dia dan rakan-rakannya sudah mula mengambil upah membuat kerja kampung khususnya di sawah padi, katanya.
“Berbekalkan pengalaman ikut ayah dan emak semasa mereka turun ke sawah, kini saya tiada masalah berpanas atau berhujan di sawah padi, malah lintah pacat serta selut telah menjadi asam garam sebagai anak tani.
“Tidak secara langsung kami dapat menyelami bagaimana susahnya menjadi pesawah dengan pendapatan yang tidak menentu dan hasil pendapatannya terpaksa tunggu lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Fauzail Azwan berkata, mereka menjual semai anak padi atau ‘semarang’ kepada pesawah yang memulakan jadual penanaman musim baharu ketika ini.
Katanya, sejak pukul 8 pagi, dia dan dua rakannya mula turun ke petak sawah untuk mencabut semai padi yang dijual RM5 seikat.
“Inilah masanya untuk kami mencari duit lebih untuk disimpan, mana tahu pada masa akan datang kami nak sambung belajar dan wang yang kami kumpul ini boleh digunakan untuk tujuan itu,” katanya.
Rakannya, Fakrul Reza Jafaar, 17, berkata, selain mengambil upah bekerja di sawah, dia turut melakukan kerja kampung yang lain seperti membela kambing di rumahnya.
“Kerja yang kami lakukan dibuat dengan penuh amanah serta bertanggungjawab dan setakat ini kerja yang kami lakukan tiada masalah,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azril Fikri Azmi, 18, berkata, agensi kerajaan perlu menyokong penglibatan anak muda dalam kerja sawah padi dengan memberi kursus untuk memajukan lagi bidang tersebut.
“Dengan cara ini, ia dapat mengelak remaja terlibat dalam aktiviti kurang sihat,” katanya.










