LONDON 12 Sept. – Jangka hayat penduduk Eropah terus mencatatkan peningkatan, namun masalah gemuk dan pertambahan individu yang memiliki berat badan berlebihan dijangka menjejaskan trend berkenaan.
Dalam Laporan Kesihatan Eropah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melibatkan 53 negara di kawasan geografi dari Atlantik ke Pasifik, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu mendapati, tahap kesihatan penduduk adalah yang tertinggi di dunia, namun berbeza dalam benua berkenaan.
Purata jangka hayat sejak lahir meningkat daripada 76.7 tahun pada 2010 kepada 77.8 tahun pada 2015.
Wanita terus hidup lebih lama daripada lelaki iaitu 81.1 tahun berbanding 74.6 tahun bagi lelaki dan jurang perbezaan itu semakin mengecil.
Terdapat juga perbezaan besar antara negara iaitu lelaki di Iceland hidup 16 tahun lebih lama (81.4 tahun) berbanding lelaki di Kazakhstan (65.7 tahun).
“Kemajuan tidak seimbang, baik dari dalam dan antara negara, antara jantina, dan seluruh generasi,” kata Pengarah WHO Eropah, Zsuzsanna Jakab.
Namun, Jakab memberi amaran, faktor risiko berkaitan gaya hidup memberi sebab untuk dibimbangi kerana faktor berkenaan mungkin melambatkan atau menukar trend pertambahan jangka hayat jika tidak dikawal.
“Masalah berat badan berlebihan dan gemuk dalam trend menaik di hampir semua negara di Eropah,” kata laporan yang diterbitkan di sini.
Pada 2016, sebanyak 23.3 peratus individu di benua itu gemuk, meningkat 2.5 peratus dalam enam tahun manakala 58.7 peratus lagi berlebihan berat badan meningkat hampir 2.8 mata.
Trend itu kelihatan ketara di Turki dengan hampir empat daripada 10 wanita atau 39.2 peratus adalah gemuk.
Definisi gemuk bagi WHO adalah individu yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) lebih daripada 30 bermakna lebih daripada 87 kilogram bagi seseorang yang mempunyai ketinggian 1.7 meter.
Dua lagi negara dengan masalah gemuk adalah Malta dengan 29.8 peratus daripada jumlah penduduknya gemuk diikuti Britain dengan 27.8 peratus. – AFP









