PEMAKAIAN fon kepala dan fon telinga semakin popular, sekali gus menjadi satu trend dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda.
Populariti peranti itu seiring dengan perkembangan teknologi semasa seperti telefon pintar, komputer riba dan iPod.
Fon kepala dan fon telinga digunakan secara meluas di semua tempat sama ada di pejabat, rumah, dalam pengangkutan awam mahupun kereta.
Bagaimanapun, sistem bunyi berkenaan berpotensi menjadi penyebab kepada kehilangan pendengaran secara kekal apabila digunakan secara berbahaya.
Sebelum ini faktor utama kecacatan pendengaran adalah disebabkan bunyi bising di tempat kerja. Bagaimanapun, ia kini beralih kepada penggunaan fon kepala dan fon telinga.
Fenomena itu berlaku apabila fon kepala dan fon telinga digunakan pada tetapan volum tinggi dalam tempoh panjang.
Pakar Pendengaran, David A. Schessel memberitahu, jika fon kepala atau fon telinga boleh didengari orang sekeliling, maka ia berpotensi menyebabkan kehilangan pendengaran secara kekal.
Jelasnya, kehilangan pendengaran boleh berlaku apabila bunyi yang didengar melebihi desibel (dB) ditetapkan serta terdedah pada tempoh panjang.
“Bunyi volum 85dB atau kurang daripada itu adalah selamat. Individu yang terdedah pada bunyi melebihi 90dB dengan purata lapan jam sehari tanpa perlindungan berpotensi untuk pekak,” katanya.
Pada 115dB iaitu pada tahap bunyi yang sama dengan konsert rock, saraf pendengaran boleh rosak dalam masa kurang satu minit.
Sesetengah telefon pintar boleh mengeluarkan bunyi maksimum sehingga 120dB.
Sekiranya, keseluruhan album pada kekuatan bunyi maksimum berkenaan, maka seseorang itu akan hilang pendengaran sebaik fon kepala dibuka.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 1.1 bilion remaja dan orang dewasa di seluruh dunia berpotensi mengalami kehilangan pendengaran kerana peranti audio peribadi.
Saranan
“Apabila berhadapan dengan pesakit yang mengalami masalah pendengaran, saya menyarankan mereka supaya jangan sesekali menetap bunyi melebihi paras sederhana,” ujar Pakar Otolaryngologi di Britain, Aaron Pearlman.
Beliau turut menyarankan supaya pengguna memesongkan sedikit fon telinga ke sebelah kiri atau kanan bagi mengurangkan kekuatan bunyi, sekali gus mengelak daripada pekak.
Jelasnya, apabila fon telinga diletakkan secara tepat ke gegendang telinga, bunyi yang dihasilkan adalah lebih kuat dan berbahaya.
Pearlman tidak dapat menyatakan sama ada fon kepala lebih baik daripada fon telinga. Bagaimanapun, beliau memaklumkan, fon telinga mengeluarkan bunyi lebih padat dan dekat.
“Fon telinga juga memerangkap bunyi, sekali gus memberi tekanan kepada gegendang telinga si pemakai,” jelasnya.
Fon telinga yang datang bersama peranti telefon pintar iPhone berpotensi menyekat bunyi bising sekeliling, sekali gus membuatkan anda mahu meningkat bunyinya.
Justeru, Pearlman mengesyorkan supaya pesakitnya mendapatkan pelapik telinga yang berkesan menghalang bunyi, sekali gus mendengar pada kekuatan lebih rendah.
Penyelidik Institut Pendengaran MRC di Glasgow, Scotland, Owen Brimijoin menyarankan supaya orang ramai mendapatkan fon kepala berkualiti meskipun harganya lebih tinggi.
“Fon kepala tidak berkualiti tidak ada bunyi bass. Ia hanya mempunyai bunyi bising apabila volum dikuatkan dan berbahaya kepada sistem pendengaran,” jelasnya.











