KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, pihaknya bersedia untuk mengambil alih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) jika tugas tersebut diberikan kepada badan induk bola sepak negara itu.
Skuad remaja negara gagal memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) apabila tewas dalam aksi peringkat kumpulan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sekali gus melenyapkan harapan skuad negara ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.
“FAM telah membuat permohonan mengenai perkara ini untuk mengambil alihnya dengan cara yang lebih baik dan berkesan.
“Ia bermakna kita mahu bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan siapa sahaja, namun kali ini FAM perlu memainkan peranan utama dalam pembangunan akar umbi.
“Selepas KBS mempunyai menteri baharu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kami telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa untuk berbincang lebih lanjut berkenaan NFDP.
“Sebelum ini mesyuarat jawatankuasa telah diadakan dan dari situ kami membuat keputusan untuk menghantar surat kepada menteri bagi mengatakan bahawa program ini sepatutnya berada di bawah FAM.
“Namun keputusan tersebut terletak di tangan menteri dan di sini jelas memberikan gambaran bahawa FAM berminat untuk ambil alih NFDP pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita di Petaling Jaya hari ini.
Bagaimanapun, keputusan terakhir berkenaan NFDP akan diumumkan pada 15 Oktober depan selepas mesyuarat khas jawatankuasa membabitkan Majlis Sukan Negara (MSN), FAM serta beberapa pihak berkepentingan bagi membincangkan hala tuju program tersebut selepas ini. – K! ONLINE











