BRUSSELS 26 Sept. – Kesatuan Eropah (EU) melancarkan pelan alternatif bagi negara-negara Asia yang dikatakan tidak akan dibebani dengan hutang yang tidak mampu dibayar, berbanding projek infrastruktur perdagangan ‘Belt and Road’ China,
Negara-negara anggota EU dijangka meluluskan ‘Strategi Jalinan Asia’ yang disasarkan untuk menambah baik pengangkutan, jalinan kuasa dan digital selain mempromosikan standard buruh dan alam sekitar pada sidang kemuncak pemimpin Eropah dan Asia, bulan depan.
EU menegaskan bahawa skim itu bukan suatu tindak balas terhadap apa yang ditawarkan negara lain tetapi dilancarkan ketika minat ramai terhadap inisiatif China semakin pudar.
China menawarkan projek pembinaan pelabuhan, jalan raya dan landasan kereta api di seluruh dunia dengan kos yang menelan bilion dolar dengan menggunakan pinjaman dari negara itu.
Ketua Diplomatik EU, Federica Mogherini berkata, rundingan telah dijalankan selama beberapa bulan dengan beberapa negara Asia yang ‘berminat dengan apa yang ditawarkan Eropah’.
“Inisiatif kami akan menyasarkan kepada mewujudkan kerja dan pertumbuhan ekonomi serta faedah kepada masyarakat tempatan. Kami tidak menyatakan cadangan ini berbeza daripada cadangan lain tetapi inilah cadangan kami,’’ katanya kepada wartawan.
Strategi baharu itu diwujudkan selepas Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker menggesa dasar luar EU yang lebih kukuh bagi menyaingi pengaruh blok ekonomi lain bukan sahaja dasar ‘America First’ Presiden Donald Trump tetapi penglibatan aktif China di Afrika dan Asia.
Pakar hubungan EU-Asia dari Institut Clingendael Belanda, Maaike Okano-Heijmas berkata, inisiatif itu adalah langkah ‘sangat penting’ selepas kritikan dibuat terhadap EU yang lambat bertindak balas terhadap kuasa China.
“Kami tidak boleh menuduh mereka (EU) tidak mempunyai wawasan lagi. Cabaran cara untuk melaksanakan pelan ini kepada sesuatu yang berjaya merupakan suatu alternatif kepada negara lain. Ini kerana ia memerlukan wang dan banyak wang lagi,’’ katanya.
Malah kata Okano-Heijmas, ‘tiada siapa boleh bersaing dengan wang China’.
Awal bulan ini Presiden China, Xi Jinping berkata, perdagangan China dengan negara-negara yang terlibat dengan inisiatif Belt and Road telah meningkat kepada AS$5 trilion (RM20.6 trilion) dengan pelaburan langsung luar melebihi AS$60 bilion (RM248 bilion). – AFP











