JAGUH paralimpik negara, Abdul Latif Romly boleh dikatakan sudah ‘sebelah kaki’ untuk memenangi pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia bermula 6 hingga 13 Oktober ini.
Ketika ini, Latif, 21, kekal mengungguli ranking pertama kategori lompat jauh T20 di rantau Asia dengan rekod peribadi terbaik 7.85 meter (m) yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur awal bulan lalu.
Pencabar terdekat atlet dari Bukit Keteri, Perlis itu ialah jaguh Singapura, Suhairi Suhani yang menghuni ranking kedua dengan catatan sekitar 6.88m dan masih belum mampu melakukan lompatan mencecah jarak 7m.
Jurulatih peribadi Latif, Mohd. Syahrul Amri Mohd. Suhaimi percaya anak didiknya itu tiada masalah untuk menjuarai saingan kali ini, sekali gus mempertahankan pingat emas dimenanginya sewaktu Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.
“Latif ada rasa kurang selesa sedikit pada kaki kanan tetapi ia bukan masalah besar. Setakat ini, saya lihat dia memang berada pada tahap terbaik.
“Kalau ikutkan ranking di Asia, cuma Latif seorang berjaya melepasi jarak 7m. Jurang dengan pencabar terdekatnya juga masih jauh.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu menyasarkan jarak tertentu buat Latif, cukup sekadar dia boleh membawa pulang pingat emas untuk Malaysia di Jakarta bulan depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Keyakinan itu berdasarkan kecemerlangan Latif memenangi pingat emas Sukan Malaysia di Ipoh, Perak baru-baru ini dengan catatan 7.46m.
Latif dijangka tidak berdepan masalah memenangi saingan di Jakarta berdasarkan statusnya sebagai pemenang pingat emas Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan Kejohanan Olahraga Dunia 2017 di London.
Dia juga adalah pemegang rekod Sukan Paralimpik, Para Dunia dan Para Asia dengan catatan 7.60m yang dilakukan di Rio de Janeiro dua tahun lalu.











