KOTA BHARU – Polis Kelantan menasihatkan ahli parti politik menjaga emosi serta tidak melakukan provokasi bagi mengelakkan sebarang kekecohan sempena Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) penggal 2018-2021 di negeri ini pada 5 Oktober depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pihaknya percaya pemilihan parti itu di negeri ini akan berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram tanpa kekecohan.
“Saya mengharapkan pergaduhan seperti di negeri lain tidak terjadi di sini, usahlah kita cetuskan sebarang provokasi yang boleh melibatkan pergaduhan dan sebagainya kerana itu akan memudaratkan ketenteraman awam di sini.
“Jika berlaku polis tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (kerana mendatangkan kecederaan). Kalau melibatkan patah dan sebagainya tindakan boleh diambil mengikut Seksyen 324 atau 325 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tahap keselamatan pemilihan PKR negeri ini apabila seramai 43,200 ahlinya yang berdaftar bakal mengundi secara digital pada 5 Oktober ini.
Terdahulu, Hasanuddin melepaskan seramai 1,055 peserta program kayuhan Kelantan Subaru Fun Ride 2018 di Aeon Mall Kota Bharu, di sini dengan dihadiri Pengarah Urusan Syarikat Mayazia Auto Sdn. Bhd., Datuk Kisham @ Khairul Othman. – K! ONLINE











