KUALA LUMPUR 18 Sept. – Ekonomi perlu disusun semula bagi mewujudkan pekerjaan yang bergaji lebih tinggi dan seterusnya mengurangkan pergantungan negara terhadap tenaga kerja asing yang murah dan tidak mahir, kata Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.
Liew yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan berkata ,ekonomi kini adalah “segitiga”, di mana bahagian bawah (atau segmen pendapatan rendah) adalah besar, manakala struktur yang ideal adalah “berlian” di mana pertengahan tebal dan besar, mencerminkan segmen pendapatan menengah yang lebih luas.
“Keprihatinan itu tidak sepatutnya pada angka gaji minimum yang tepat. Ia sepatutnya mengenai bagaimana kita menggunakan kuasa dan alat kerajaan untuk mewujudkan pekerjaan yang bergaji lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau adalah seorang penceramah panel di ‘Ekonomi Rakyat Siri # 2: Kegawatan dalam Kewangan Global: adakah Malaysia berisiko?’, Yang dianjurkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Sebagai contoh, Liew berkata, pekerjaan yang sesuai untuk veteran tentera adalah sebagai pengawal bersenjata, tetapi pada masa ini hanya memberi gaji kira-kira RM1,500 sebulan dan dengan itu dikuasai pekerja asing yang tidak mahir atau pekerja asing yang tidak sah.
“Veteran tentera tidak akan berminat dengan RM1,500 kerana pencen mereka lebih daripada itu. Sekiranya kerja itu dibayar RM3,000 sebulan, sudah pasti mereka akan bekerja.
“Kita perlu menyusun semula dengan berurusan dengan pemegang lesen. Ia bukan sesuatu yang mudah dan ada pihak yang akan terjejas,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penceramah panel, Ketua Jabatan Ekonomi dan Pasaran Modal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Nurhisham Hussein berkata, kenaikan RM50 kepada gaji minimum baru-baru ini tidak memberi kesan kepada ekonomi dan rakyat.
Menurutnya, data KWSP menunjukkan ekonomi ketika ini mampu menangani kenaikan gaji 10 hingga 15 peratus, tetapi gaji minimum RM1,500 yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan mungkin dapat dicapai secara beransur-ansur dalam tempoh empat tahun. – BERNAMA










