Eira rela tewas - Utusan Malaysia

Eira rela tewas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA dikatakan pantang melihat wanita lain tampil lebih cantik dan menawan daripadanya.

 

Mereka sanggup berlumba-lumba mencantikkan diri, dan jika sudah terdesak, tergamak pula mensabotaj pihak lain demi memenangi perhatian lelaki.

Walau bagaimanapun, semua tanggapan itu meleset selepas bertemu, berbual dan mengenali Norshahirah Muhammad Shukri. Gadis manis ini mencari rezeki sebagai jurusolek di sekitar Kelantan.

Melihat prinsip dipegang gadis yang mesra disapa Eira itu, kita akan sedar bahawa tangggapan itu benar-benar prejudis kerana bukan semua kaum Hawa bersikap negatif seperti itu.

Berasal dari Kota Bharu, dia bukan sahaja tidak kisah jika dirinya ‘tewas’, malah gembira jika lebih ramai wanita mempunyai kesedaran untuk menjaga kecantikan dan penampilan diri.

Lebih menggembirakan kata gadis itu, apabila wanita yang tampil jelita dan mendapat perhatian ramai adalah pelanggannya sendiri.

Bercerita lanjut mengenai kerjayanya, lulusan Diploma Kejuruteraan Awam itu berkata, dia nekad menjadi jurusolek profesional kerana kerjaya itu ternyata lebih membahagiakan jiwanya berbanding menjadi seorang jurutera.

“Saya minat alat solek sejak kanak-kanak, tetapi hanya mula serius ketika belajar di kolej. Sepanjang di kolej, pelajar terutama rakan-rakan sering mendapatkan khidmat solekan daripada saya untuk menghadiri majlis makan malam.

“Saya berasa puas hati dan gembira melihat mereka tampil cantik dan mendapat perhatian ramai. Semangat saya berkobar-kobar untuk terus memantapkan kemahiran dan membantu lebih ramai wanita tampil cantik menawan di khalayak,” katanya.

Menurut Norshahirah, dia menimba ilmu berkaitan teknik solekan daripada jurusolek berpengalaman, Emmy. Selain itu, dia sering menonton pelbagai video mengenai solekan menerusi laman sosial terutama YouTube.

Seiring dengan peredaran masa, nama Eira Shukri semakin dikenali dan mendapat tempat di hati pelanggan sekitar negeri itu bagi mendapatkan khidmatnya sebagai jurusolek.

Lebih mengujakan apabila pelanggannya kini tidak terhad kepada rakan-rakan dan sanak saudara sahaja, malah bakal pengantin dan orang ramai turut menerima sentuhan tangannya. Kesemua mereka mempunyai satu impian iaitu mahu tampil menawan apabila menghadiri apa sahaja majlis keraian.

“Pada masa depan, saya merancang untuk buka butik kecantikan sendiri, selain melatih sesiapa sahaja yang berminat,” katanya teruja.

 

Norshahirah Muhammad Shukri

Umur: 23 tahun

Asal: Kota Bharu

Hobi: Bersenam di gim, senamrobik

Instagram: eirashukri

Facebook: eirashukri

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN