SUNGAI PETANI 30 Sept. – Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan selepas polis menemukan 46 ketulan mampat dadah disyaki ganja bernilai RM112,500 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Permatang Pasir, Kota Kuala Muda di sini, Jumaat lepas.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, sebanyak 46 ketulan mampat ganja seberat 44.52 kilogram (kg) ditemukan di rumah yang didiami suspek dan seorang anaknya.
“Sebanyak 25 ketulan mampat ganja ditemukan di bawah tilam, 12 ketulan di dalam kotak kertas, lapan ketulan di dalam beg plastik hitam dan satu lagi di ruang tamu rumah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya turut merampas sebuah kereta Proton Waja disyaki digunakan untuk tujuan pengedaran dadah untuk siasatan lanjut.
“Kita mengesyaki suspek memperoleh bekalan dadah tersebut daripada pembekal tempatan dan disyaki untuk diedarkan di kawasan Kuala Muda dan Seberang Perai Utara, Pulau Pinang,” ujarnya.
Menurut Adzli, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah.
“Hasil semakan rekod lampau, suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) akta sama dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh itu direman selama tujuh hari bermula semalam manakala anaknya yang turut ditahan dibebaskan dengan jaminan polis sebelum diserahkan kepada ibunya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 kerana mengedar dadah,” katanya. – UTUSAN ONLINE











