ALOR SETAR – Dua lelaki yang direman bagi membantu siasatan kes meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada seorang calon yang bakal bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah pada 22 September ini dibebaskan hari ini.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Noor Lyana Ab. Rahim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membebaskan kedua-dua suspek yang direman selama enam hari sejak Ahad lalu.
Mereka yang berusia 46 dan 48 tahun masing-masing dibebaskan dengan jaminan SPRM berjumlah RM5,000 dan seorang penjamin selain perlu melapor diri kepada SPRM setiap bulan.
Terdahulu, kedua-dua lelaki yang merupakan Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR negeri itu tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar kira-kira pukul 9.45 pagi semalam dengan diiringi pegawai SPRM. – K! ONLINE










