KUALA LUMPUR 12 Sept. – Usul pemansuhan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang ditolak Dewan Negara hari ini akan dibawa semula ke Dewan Rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata,usul tersebut perlu dibawa kembali dalam tempoh tidak kurang daripada setahun untuk kelulusan, sepertimana termaktub di bawah Perkara 68 Perlembagaan Persekutuan.
“Sudah pasti, kami perlu membentangkan usul itu di Dewan Rakyat tetapi kami juga perlu menunggu arahan daripada pihak berkaitan termasuk Perdana Menteri.
“Ketika ini, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 masih berkuat kuasa dan terpulang kepada pihak berkuasa sama ada mahu melaksanakan akta itu atau sebaliknya.
“Pendirian Pakatan Harapan (PH) amat jelas iaitu mahu memansuhkannya, jadi saya berpendapat kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak berdasarkan akta tersebut,” katanya di bangunan Parlimen hari ini.
Terdahulu, Dewan Negara menolak usul pemansuhan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 selepas dibacakan buat kali kedua.
Keputusan menolak pemansuhan rang undang-undang itu dibuat hasil undi belah bagian oleh ahli-ahli Dewan Negara.
Undi belah bagian tersebut menunjukkan 28 ahli dewan menolak pemansuhannya, manakala hanya 21 yang menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.
Undi belah bagian itu diusulkan Senator Khairul Azwan Harun sejurus selepas Mohamed Hanipa selesai menggulungkan rang undang-undang berkenaan pada bacaan kali kedua.
Usul tersebut kemudian dipersetujui Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran mengikut Peraturan Dewan Negara 45(4) selepas mendapat sokongan lebih daripada lapan Senator Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa menyifatkan bahawa tindakan beberapa senator menolak usul pemansuhan rang undang-undang tersebut sebagai cubaan memalukan kerajaan PH.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak ‘makan hati’ dengan perbuatan itu ekoran keputusan tersebut adalah hak mereka dan perkara itu tidak menjadi satu masalah kerana rang undang-undang berkenaan bukan ‘keperluan mendesak’ seperti rang undang-undang lain yang melibatkan kewangan.
“Sudah tentu kami mahu memansuhkannya tetapi me- mandangkan mereka (senator) mahu melambatkan proses berkenaan, jadi itu terpulang kepada mereka. Saya hanya mahu memberi mesej kepada semua Senator BN bahawa rakyat sedang melihat semua perkara ini, jadi berwaspadalah,” katanya.
Sementara itu Vigneswaran ketika ditemui berkata, ini bukan merupakan kali pertama Dewan Negara menolak sesuatu usul yang dibawa oleh kerajaan.
Ini kerana katanya, perkara sama pernah berlaku pada 2004 melibatkan pindaan terhadap Rang Undang-undang Racun Makhluk Perosak.
Justeru katanya, tidak timbul persoalan terdapat unsur sabotaj dalam keputusan untuk menolak sesuatu usul rang undang-undang.
“Ini merupakan kali kedua Dewan Negara menolak usul. Sebelum ini pindaan Rang Undang-undang Racun Makhluk Perosak, kemudian dibawa semula ke Dewan Rakyat dan selepas itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.









