KUALA LUMPUR – Penyanyi Dayangku Intan dan suami, Rosman Yahil yang selamat menjalani pembedahan mendermakan buah pinggang semalam di sebuah pusat perubatan di sini kini berada dalam keadaan stabil.
Menurut pengurusnya, Rushuhaimin Ab. Rahman, bagaimanapun, keadaan suami pelantun lagu Kita Intan Biasa itu memerlukan pemantauan rapi daripada pihak hospital memandangkan dia merupakan penerima buah pinggang.
“Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan lancar. Intan barangkali dipindahkan daripada Unit Rawatan Rapi (ICU) ke wad biasa hari ini.
“Bagaimanapun, suaminya Rosman mungkin hanya dibenarkan pindah ke wad biasa selepas empat atau lima hari kerana memerlukan pemantauan rapi daripada pihak hospital. Apapun, syukur kerana kedua-duanya selamat sekarang,” ujar Rushuhaimin ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Berkongsi lanjut mengenai perkembangan kesihatan suami isteri tersebut, Rushuhaimin berkata, Intan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua peminat yang mendoakan pembedahan berjalan lancar.
“Saya melawat dia malam tadi dan perkataan pertama yang keluar daripada mulut dia adalah terima kasih. Terima kasih buat mereka yang sentiasa mendoakan urusan pembedahan berjalan dengan lancar.
“Rosman pula sebaik sedar terus bertanyakan keadaan isterinya dan meminta saya menjenguknya. Situasi itu membuatkan hati saya amat tersentuh dengan jalinan kasih antara kedua suami isteri ini,” jelasnya.
Terdahulu, penyanyi era 1980-an itu mendedahkan mahu mendermakan buah pinggangnya kepada suami yang mengalami masalah kegagalan organ buah pinggang akibat kencing tikus.
Rosman yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi terkawal menghidap jangkitan kencing tikus namun jangkitan merebak ke bahagian buah pinggang hingga ia gagal berfungsi sejak tiga bulan lalu.
Keadaan kesihatan suaminya yang merosot secara mendadak mendorong Intan untuk melakukan pemeriksaan bagi mendermakan satu daripada buah pinggangnya. – K! ONLINE










