PUTRAJAYA – Teka teki mengenai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu akan terjawab Selasa ini apabila individu yang menjawat jawatan itu diumumkan, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata, surat pelantikan kepada individu berkenaan yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan kerajaan itu telah diserah dan hanya menunggu masa untuk diumumkan.
“Nama calon itu kita sudah ada, surat pelantikan juga telah diserahkan, hari Selasa ini kita umumkannya melalui satu sidang akhbar khas.
“Calon yang dipilih ini mempunyai latar belakang yang baik dengan pernah menjawat pelbagai jawatan seperti Pegawai Daerah, Yang Dipertua Perbandaran serta berkhidmat di Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Komuniti Dan Pesta Air Oxygenation Putrajaya di sini hari ini.
Beliau mengulas pengganti Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz yang meletak jawatan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 1 September lalu selepas berkhidmat lebih tiga tahun. – Bernama










