Lebih seratus hari Malaysia melalui era baharu pemerintahan kerajaan pusat. Dalam tempoh tersebut, ia telah mencetus suatu fenomena yang mencipta kejutan, kegelisahan dan keresahan dalam kalangan parti-parti politik serta rakyat di negara ini yang dahagakan ketelusan pentadbiran dan kemakmuran negara.
Bermula daripada pemansuhan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan sehinggalah kepada penangguhan pembayaran balik Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, ia adalah antara perubahan-perubahan radikal yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan untuk merealisasikan manifesto politik semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Tidak terkecuali isu kebebasan media yang dijanjikan untuk dilaksanakan sepenuhnya selepas memenangi pilihan raya tersebut.
Janji Pakatan Harapan kepada rakyat untuk memperluaskan peranan media dan menyalurkan maklumat yang lebih telus adalah suatu impian yang sedang dilaksanakan.
Malah, cadangan pemansuhan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 selain penyemakan semula Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menunjukkan komitmen serius kerajaan untuk mewujudkan persekitaran media yang lebih bebas.
Agenda politik
Penguatkuasaan peraturan dalam kebanyakan akta media ‘lapuk’ seperti ini disifatkan memberi tekanan kepada organisasi media untuk bersikap objektif dalam pemberitaan maklumat.
Malah, semua media arus perdana harus bertindak memihak kepada agenda politik suatu masa lalu.
Situasi itu telah menyebabkan golongan muda pada masa kini mula beralih kepada sumber media alternatif untuk mendapatkan maklumat yang dirasa melaporkan maklumat yang lebih adil dan menyeluruh serta tidak hanya cenderung kepada mana-mana pihak.
Ini menyebabkan ranking media khususnya media arus perdana terjejas dan semakin tidak digemari oleh majoriti rakyat di negara ini.
Apatah lagi apabila kebanyakan golongan generasi muda di negara ini menganggap dunia media siber adalah harapan masa depan mereka untuk menyaingi ledakan kandungan maklumat yang berlaku pada hari ini.
Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa ledakan maklumat ini telah mengubah budaya dan corak kehidupan anak-anak muda di negara kita selain turut merangsang pemikiran serta perlakuan mereka untuk meneroka lebih banyak ilmu maklumat dari serata pelosok dunia.
Namun, dalam keghairahan mencipta fenomena kebebasan bermaklumat ini, kita sering kali terlupa bahawa tidak semua maklumat tersebut tergolong sebagai kandungan yang boleh dipercayai atau berkredibiliti tinggi.
Satu sistem kawal selia kandungan media harus diperkenalkan kepada golongan pengguna supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan kandungan-kandungan jelik atau bersifat fitnah serta penipuan.
Dalam mengharungi cabaran ini, cadangan penubuhan Majlis Media Kebangsaan dilihat mampu memberikan nafas baru kepada industri media untuk mengemudi hala tuju bidang itu dan memperkasa peranan media dengan lebih efektif kepada masyarakat.
Ia juga akan memberikan manfaat kepada pengguna media di negara ini kerana mereka akan dilindungi oleh peraturan-peraturan yang akan mengawal, mengekang dan menentukan cita rasa mereka yang pelbagai.
Di samping itu, cadangan penubuhan Majlis Media Kebangsaan ini diharapkan dapat menaikkan martabat media di negara ini untuk berfungsi dengan lebih baik dalam usaha menyalurkan maklumat berita yang lebih berobjektif serta berintegrasi.
Secara tidak langsung, pelaksanaan institusi tersebut akan memperlihat media arus perdana mampu menyaingi penguasaan media alternatif yang menggunakan platform media sosial yang kini dilihat banyak mempengaruhi minda pengguna media.
Impian
Bagaimanapun, ketika ini, penubuhan Majlis Media Kebangsaan masih belum menjadi kenyataan. Namun, beberapa cabaran dan pendekatan harus diambil kira bagi memastikan bahawa kebebasan media benar-benar menjadi suatu kenyataan dan bukannya suatu impian yang tidak tertunai.
Antaranya ialah:
1. Menggalakkan lebih banyak penglibatan masyarakat dalam kempen-kempen memilih bahan kandungan media yang benar.
2. Menyalurkan penjelasan isu-isu dan maklumat yang tepat kepada masyarakat menerusi saluran media supaya dapat diyakini oleh para pengguna media.
3. Mengiktiraf dan menghargai para pengguna media dalam kalangan generasi muda dengan cara memberi ruang untuk mereka berkreatif dan mencipta pelbagai produk media yang inovatif.
4. Menggalakkan lebih banyak kandungan maklumat tempatan yang dapat memenuhi aspirasi mewujudkan masyarakat yang harmoni.
5. Pendidikan penggunaan media berhemah dan efektif perlu dibangunkan di peringkat pra-persekolahan sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi
Justeru, sekiranya kerajaan masih ingin meneruskan usaha menubuhkan Majlis Media Kebangsaan, ia haruslah mengambil kira pendekatan yang boleh memberi harapan baharu kepada industri media untuk menyemarakkan lagi penglibatan masyarakat terhadap aktiviti-aktiviti media yang berfaedah kepada mereka.
Para pengguna media khususnya generasi muda pula diharapkan akan terdidik dengan kesedaran penggunaan media dengan lebih cekap, tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan anasir-anasir kandungan media.
Selain itu, mereka juga perlu lebih bertanggungjawab terhadap apa sahaja kandungan media yang dinikmati atau disalurkan kepada orang lain serta mencetuskan fenomena daya cipta kreativiti yang tinggi menghasilkan kandungan media yang amat bersesuaian dengan keperluan mereka.
Akhirnya, kita berharap akan menjulang nama Malaysia sebagai hub teknologi maklumat media yang disegani di rantau ini.










