Buruh didakwa rompak warga Bangladesh - Utusan Malaysia

Buruh didakwa rompak warga Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Dua buruh binaan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan mengurung seorang peniaga warga Bangladesh secara salah, dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan, Hossain Shahid, 36, warga Bangladesh dan rakyat tempatan, B. Shanan Nair, 21, bersama-sama empat individu yang masih bebas didakwa melakukan rompak berkumpulan dengan menyamun seunit telefon bimbit jenis Nokia, pasport dan wang tunai RM6,800 milik Md. Anayet Ullah, 31.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik tidak bernombor, tingkat 2, 65B, Jalan Galloway melalui Jalan Pudu, di sini pada 6 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah bersama-sama empat individu yang masih bebas didakwa telah mengurung secara salah terhadap mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Yaacub mengikut Seksyen 342 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau sebat atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan jaminan namun peguam, A. Suayri yang mewakili Shanan Nair memohon jaminan dibenarkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung keluarga manakala Hossain pula tidak membuat sebarang rayuan.

Hakim Dr. Gan Chee Keong membenarkan Shanan Nair diikat jamin RM11,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua minggu sekali setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa manakala Hossain tidak dibenarkan ikat jamin kerana tertuduh warga asing.

Beliau menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN