KUALA LUMPUR – Harga saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini selepas susut semalam, seiring dengan prestasi kebanyakan bursa serantau yang didorong oleh permintaan belian saham pada harga semasa yang dilihat menarik, kata peniaga.
Pada 9.15 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 9.12 mata kepada 1,802.06 berbanding 1,792.94 sewaktu ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.78 mata lebih tinggi kepada 1,794.72.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 214 berbanding 80 manakala 182 tidak berubah, 1,407 tidak diniagakan dan 25 lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 159.97 juta unit bernilai RM114.55 juta.
Public Investment Bank Bhd berkata bursa tempatan dijangkakan dibuka pada aliran lebih positif selepas peningkatan saham teknologi dan tenaga yang membantu melonjakkan semula pasaran S&P 500 selepas mencatat hari terburuk dalam masa sebulan. – Bernama











