PETALING JAYA 24 Sept. – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan adik ipar perempuan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle Fund), Nazrin Hassan dan suaminya direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes kematian lelaki itu akibat kebakaran di rumahnya, Jun lalu.
Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Hairol Azhar Mohd. Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini terhadap kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 39 dan 41 tahun.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu tiba di mahkamah dengan berbaju lokap berwarna jingga pada pukul 11 pagi sebelum diiringi anggota polis keluar dari bilik reman kira-kira pukul 1.40 petang.
Pada 4 September lalu, isteri Nazrin, Samirah Muzaffar dan bekas suaminya yang masing-masing berusia 43 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu.
Dua anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun turut direman pada 9 September lalu. Bagaimanapun, kesemua suspek telah dibebaskan.
Pada 14 Jun lalu, Nazrin dilapor meninggal dunia dipercayai berpunca daripada terhidu asap selepas kebakaran berlaku ekoran telefon bimbitnya yang meletup semasa mengecas di bilik tidurnya yang terletak di tingkat atas kediamannya di Mutiara Damansara, di sini.










