LUMUT – Sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Seri Manjung berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Vietnam yang cuba membunuh diri di Pasir Panjang Luat di sini hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Husni Syawal Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 12.57 tengahari tadi.
Menurutnya, wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan hanya calar di badan.
“Cubaan mangsa untuk bunuh diri gagal kerana mangsa tersangkut pada lumpur.
“Teknik menggunakan papan dan menggelongsor di atas papan terpaksa digunakan memandangkan lumpur sehingga paras pinggang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ujarnya, bagaimanapun, pihak bomba berjaya menyelamatkan mangsa kira-kira satu jam sebelum dia dibawa ke tempat yang lebih selamat.
Katanya, usaha menyelamat tamat pada pukul 3 petang.
Menurutnya, punca wanita itu yang ingin membunuh diri masih belum diketahui dan mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE











