Boleh bangkit, tetapi kena bijak - Utusan Malaysia

Boleh bangkit, tetapi kena bijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANDUNGAN persidangan ketiga-tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri menunjukkan mereka insaf dan memahami mengapa parti telah ditolak dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Perkembangan sihat itu baik untuk memadamkan retorik dan sikap eksklusif dan elitis ramai ahli parti yang menjadi penyebab awal yang membuat UMNO serta Barisan Nasional (BN) tidak berpijak di bumi nyata dan akhirnya ditolak rakyat.

Pujian harus diberikan kepada mereka yang masih kekal bersama UMNO dan berusaha keras untuk memulihkan parti yang ditinggalkan oleh beberapa mereka yang tidak sampai setahun lalu terpekik melaungkan ‘Hidup UMNO’ dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Kegigihan Wanita, Pemuda dan Puteri penting kerana mereka merupakan unit penting parti yang akan turun padang untuk bersama akar umbi UMNO dan pengundi atas pagar.

Bagaimanapun kaedah penyampaian perlu bijak, tanpa perlu mengeluarkan perkataan kesat, memperlekeh lawan dan realistik dengan keadaan parti yang masih teraba-raba mencari rentak menjadi pembangkang.

Perwakilan dan keseluruhan ahli serta rakyat mengharapkan hala tuju yang lebih jelas seperti dasar baharu parti, bagaimana mahu menambahkan ahli serta pandangan sayap UMNO terhadap legasi lama seperti 1Malaysia Development Berhad.

Mereka yang hadir ke perhimpunan juga mahu apakah strategi UMNO untuk menembusi Pakatan Harapan yang licik dan berkuasa untuk mempengaruhi serta ‘membeli’ banyak ahli-ahli parti.

Dengan bajet yang tidak mencukupi, sayap-sayap UMNO perlu menggunakan perhimpunan parti sebaik-baiknya untuk mempamerkan komitmen bagi memastikan ‘UMNO Bangkit’ bukan sekadar retorik. – UTUSAN ONLINE


Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN