BN perlu letak anak tempatan lawan Anwar di Port Dickson - Utusan Malaysia

BN perlu letak anak tempatan lawan Anwar di Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 12 Sept. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap anak tempatan dipilih menjadi calon sekiranya BN bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

MOHAMAD HASAN
MOHAMAD HASAN 

Menurutnya, secara peribadi beliau beranggapan calon anak tempatan wajar diberi peluang berdepan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi tersebut. 

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, bagaimanapun Majlis Tertinggi BN akan meneliti dan berbincang terlebih dahulu sama ada meletakkan calon dalam PRK yang akan diadakan kelak. 

“Jika BN bertanding di kerusi itu, pandangan daripada badan perhubungan UMNO negeri dan bahagian akan diambil kira sebelum memutuskan siapa yang layak mewakili BN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah dalam satu sidang akhbar hari ini mengumumkan beliau telah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Ini merupakan usaha bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat dan seterusnya berpeluang dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan. 

Sementara itu, ditanya kemungkinan dipilih sebagai calon di Port Dickson, Mohamad berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada kes petisyen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau terlebih dulu. 

“Saya akan tumpukan perhatian saya untuk DUN Rantau jika mahkamah putuskan perlu ada PRK di kawasan itu,” katanya. 

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, bekas Menteri Besar itu menang tanpa bertanding kerusi DUN tersebut namun calon PKR, Dr. S. Streram memfailkan petisyen memohon pembatalan keputusan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN